Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: 13 tahanan ISA amat bahaya
Diterbitkan:  Nov 19, 2011 7:17 PM
Dikemaskini: Nov 20, 2011 3:35 AM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin  Hussein mendedahkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.

perkasa visit kdn on isa 290911 hishamuddin Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara.

"Kumpulan ini tidak takut mati dan sememangnya mereka mahu mati dalam jihad," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pemimpin Parlimen Semberong di Felda Bukit Tongkat di Kluang, hari ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Semberong menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

"Ada (senjata yang ditemui), bukan sedikit dan senjata itu dari (negara) luar," katanya, membuktikan kumpulan individu itu amat berbahaya.

Menteri Dalam Negeri itu turut mendedahkan operasi yang dilaksanakan oleh 13 individu yang ditahan tersebut melibatkan tiga buah negara, tetapi beliau tidak mendedahkan ketiga-ketiga negara terbabit.

Beliau juga berkata, kumpulan terbabit juga menjadikan beberapa tempat dan individu sebagai sasaran mereka.

"Ia melibatkan tiga negara, dengan ada negara tertentu di mana mereka mendapatkan latihan ketenteraan, ada negara dijadikan tempat perancangan dan ada negara di mana tempat serta individu tertentu dilihat sebagai sasaran mereka," katanya.

Dua hari lalu, Hishammuddin berkata beliau ke Indonesia untuk melihat dengan lebih dekat tentang rangkaian kumpulan ini di Malaysia dan negara-negara jiran.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri akan memerangi sebarang kegiatan keganasan secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu ia dipolitikkan.

- Bernama

ADS