Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rektor UIA batalkan program timbalan menteri
Diterbitkan:  Nov 22, 2011 10:54 AM
Dikemaskini: 11:41 PM

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dikatakan telah membatalkan program bicara e-book (buku elektronik) Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, malam tadi.

Alasan yang diberikan adalah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sedang hangat diperkatakan.

“Saifuddin dilarang dialog di UIA.

NONE “Menurut jadualnya, pada 21 Nov, jam 8.15 malam, Datuk Saifuddin Abdullah, timbalan menteri pengajian tinggi membicarakan e-book beliau,” kata pegawai khas medianya, Fadzmel Fadzil dalam emelnya kepada Malaysiakini .

Saifuddin, yang dilihat sebagai pemimpin berfikiran terbuka dan lantang dalam Umno, dijadualkan membincangkan buku bertajuk Kalau Saya Mahasiswa .

Dialog anjuran Persatuan Pelajar Undang-Undang UIA sepatutnya diadakan di auditorium utama universiti itu di Gombak, Kuala Lumpur.

Menurut Fadzmel, Saifuddin dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada saat akhir dan diberitahu ia akan ditangguh ke tarikh yang lain.

“Menurut Saifuddin, beliau (juga) mendapat maklumat daripada timbalan rektor Hal Ehwal Pelajar UIA bahawa pembatalan itu adalah atas arahan Rektor UIA (Profesor Datuk Zaleha Kamaruddin).

"Alasan pembatalan adalah kerana isu AUKU sedang hangat diperkatakan,” katanya.

Kalau Saya Mahasiswa adalah buku kelima ahli parlimen Temerloh itu yang diterbitkan pada tahun 2009. Ia boleh dimuat turun dan dibaca di laman www.saifuddinabdullah.com.my.

Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 15(5) AUKU yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya sebagai tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara. [Baca berita penuh]

Ada tangan ghaib?

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesyaki ada tangan ghaib atau campurtangan politik sehingga program itu dibatalkan pada saat akhir.

"Apakah kerana sikap keterbukaan serta kelantangan Datuk Saifuddin yang cuba membawa pendekatan baru dalam menangani isu mahasiswa serta AUKU, maka beliau juga disenarai hitamkan?" soalnya.

Dalam kenyataannya petang ini, Mohamad Suhaimi mempersoalkan, apa masalahnya AUKU turut dibincangkan secara ilmiah dan siapa lagi layak membincangkan isu itu jika tidak Saifuddin sebagai timbalan menteri yang mempunyai autoriti dalam isu itu.

Dewan itu menyifatkan sikap yang lahir dari "mentaliti ketinggalan zaman" yang sebegitu menunjukkan UIA semakin mengundur ke belakang.

ADS