Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan S'gor dukacita kenyataan Aziz Bari
Diterbitkan:  Nov 24, 2011 8:00 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan rasa dukacita baginda berhubung dakwaan pensyarah Prof Abdul Aziz Bari kononnya laporan kewangan tahunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.

    

Sultan Selangor bertitah kenyataan itu tidak tepat kerana baginda disembah maklum akaun kedua-dua badan kerajaan negeri itu yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara serta mendapat sijil bersih daripada Ketua Audit Negara setiap tahun.

    

"Beta sangat dukacita apabila Beta dimaklumkan terdapat satu laporan yang menyatakan bahawa Prof Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ada membuat kenyataan bahawa akaun Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor tidak diaudit dan bebas daripada audit.

    

"Justeru, beta berharap Prof Abdul Aziz Bari jangan membuat sesuatu kenyataan yang boleh mengelirukan dan meresahkan rakyat terhadap ketelusan dan integriti MAIS dan LZS sebelum beliau mendapat fakta-fakta tepat dan betul," titah baginda ketika merasmikan Wisma Audit Negeri Selangor hari ini.

    

Abdul Aziz, dalam penjelasannya kepada media menerusi e-mel, berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.

    

"Saya tidak berniat melawan baginda. Saya rasa DYMM Tuanku tahu saya telah banyak menulis mengenai peranan dan kuasa raja-raja selaku ketua negeri dan ketua agama.

    

"Nampaknya, ada pihak yang mahu memburukkan imej saya di hadapan Sultan," kata Abdul Aziz.

    

Dalam titah baginda lagi, Sultan Selangor menyarankan agar setiap jabatan dan agensi di Selangor mengambil iktibar daripada kelemahan yang dinyatakan oleh pihak audit agar masalah seperti pemborosan, pembaziran dan penyelewengan dapat dielakkan.

    

"Beta berharap ketua-ketua jabatan dan agensi di negeri ini sentiasa memberi perhatian kepada hal-hal berkaitan dengan kewangan dan memastikan segala peraturan dan prosedur kewangan dipatuhi agar tidak ditegur audit," titahnya.

    

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam ucapannya berkata pembinaan Wisma Audit seumpama ini adalah yang ketiga selepas Perak dan Negeri Sembilan.

- Bernama

ADS