Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramli Yusuff bebas, mahkamah tolak rayuan pendakwa
Diterbitkan:  Nov 25, 2011 8:02 PM
Dikemaskini: 4:03 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan pelepasan dan pembebasan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Ramli Yusuff atas dakwaan gagal mengisytihar pemilikan saham dan kepentingan dalam dua hartanah bernilai RM1.03 juta.

    

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 12 Mac tahun lalu yang melepaskan dan membebaskan Ramli tanpa membela diri.

    

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata keputusan yang dibuat Hakim M.Gunalan terhadap Ramli adalah tepat dan tiada sebarang kesilapan.

    

Tambahnya, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap responden dalam pertuduhan pertama hingga ketiga.

    

Ghazali berkata bagi pertuduhan pertama, terbukti bahawa Ramli tidak mempunyai kepentingan dalam dua bangunan pejabat milik syarikat Bonus Circle Sdn Bhd, yang mana kakak dan adik Ramli menjadi pengarahnya.

    

Ghazali berkata Ramli juga bukanlah pengarah syarikat tersebut dan tidak memegang sebarang syer.

    

Bagi pertuduhan kedua iaitu gagal mengisytiharkan 154,000 unit saham Permaju Industries, beliau berkata jelas Ramli tidak mempunyai sebarang pengetahuan terhadap syer dan dokumen berkaitan dengannya.

    

Bagi pertuduhan ketiga yang membabitkan saham Telekom, hakim itu berkata semasa pertuduhan dibuat, Ramli belum lagi menjadi pemegang saham secara sah.

Pada 2007, Ramli didakwa atas tiga pertuduhan iaitu gagal mengistiharkan kepentingannya dalam hartanah berupa dua buah pejabat, pemilikan 154,000 saham Permaju Industries Berhad serta pemilikan 20,000 saham Telekom Malaysia Berhad.

    

Dia didakwa melakukan semua kesalahan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya pada 17 September 2007.

     

Ramli diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohd Sophian Zakaria.

    

Ketika ditemui pemberita, Ramli berkata beliau gembira dengan keputusan tersebut.

    

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini turut mengekalkan pelepasan dan pembebasan Ramli daripada tuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat pertanian ketika masih menjadi seorang penjawat awam, lima tahun lalu.

    

Mohamad Zabidin berkata Ramli tidak mempunyai sebarang kesalahan dalam kes itu.

    

Pada 20 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah melepaskan dan membebaskan Ramli selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    

Ramli didakwa menjadi pengarah dalam syarikat Kinsajaya Sdn Bhd (Kinsajaya) ketika masih Pengarah JSJK, Bukit Aman di sini, pada 2 Mei 2006.

- Bernama

ADS