Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil hari ini memberikan amaran keras kepada pemimpin PKR kerana memainkan isu projek lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diterajui suaminya.

NONE Sambil menegaskan beliau tiada kaitan dengan projek lembu itu, Shahrizat berkata beliau tidak takut dengan serangan oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategik parti itu, Rafizi Ramli.

"Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, ketua (Wanita) PKR yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?" soalnya.

Ketika menyampaikan ucapan dasar dalam persidangan Wanita Umno di ibu negara, hari ini, Shahrizat menyifatkan tindakan Zuraida seolah-olah "gajah depan mata tak nampak".

"Ada MP (anggota parlimen) Kelantan, sepatutnya jaga pengundi tetapi sibuk di Kuala Lumpur, tutup pusat khidmat. Tanya Machang," katanya di hadapan lebih 900 perwakilan.

Supaya dilihat konsisten, katanya, Shahrizat juga menggesa Zuraida mendesak Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan.

"Saya gesa ketua wanita gesa presiden PKR letak jawatan atas angkara suaminya ketua umum yang pernah dihukum dan disabit pelbagai angkara," katanya.

NONE Sementara itu, Rafizi ( kiri ) pula dilabelkan sebagai "si Tanggang muda" berikutan serangan bertali-arus yang ditujukan padanya.

"Anak muda ini, apa namanya? Rafizi? Mafizi? (Dia) adalah si Tanggang muda, sepatutnya belajar dengan ibu-ibu di sini, bukan jadi anak derhaka, jual agama dan bangsa," kata Shahrizat.

Dilihat melepaskan geram di gelanggang sendiri, Shahrizat yang kerap diam menghadapi isu itu menyifatkan penjelasannya hari ini sebagai "mukadimah" sahaja.

"Oh, mentang-mentang saya sapu ketua di zaman krisis, jangan siapa fikir saya lemah walau senyum saya meleret," katanya.

Pada masa yang sama, tanpa menyebut khusus mana-mana pihak, menteri pembangunan wanita itu mengingatkan ahli Umno supaya tidak mengambil mudah peranan wanita dalam parti.

"Kita Wanita tak pernah curang. Tetapi bila kita susah, apakah mereka bantu kita? Adakah mereka setia bersama kita?" soalnya.

ADS