DAP menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melaksanakan saranan awal Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan pilihan raya, sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu menyambut baik sepuluh saranan berkenaan dan berharap ia akan dapat dilaksanakan segera.
"Sungguhpun di antara 10 usul ini ada beberapa perkara yang boleh ditambah, tapi ini adalah usaha ke depan, maka bagi pihak DAP boleh terima laporan awal ini dengan beri penerimaan awal.
"Kita mahu ke depan, jadi adakan pilihan raya dengan peraturan baru ini. Kita harap syor ini akan dapat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13.
"Kalau tidak, pilihan raya ini akan jadi pilihan raya paling kotor dalam sejarah," kata ahli parlimen Bagan itu lagi dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Laporan awal berkenaan, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat esok, antara lain mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan warga asing diberikan kerakyatan untuk mengundi di Sabah.
Laporan awal itu juga mencadangkan supaya SPR menjalankan pengesahan ke atas semua nama dalam daftar pemilih di Sabah.
Selain itu, PSC mencadangkan supaya Mimos Berhad dilantik untuk mengaudit daftar pemilih.
