Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib rasmi Perhimpunan Agung Umno 2011
Diterbitkan:  Dec 1, 2011 9:47 AM
Dikemaskini: 7:05 AM

Perhimpunan Agung Umno 2011 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

NONE Majlis dimulakan dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra, diikuti dengan penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri, di hadapan 5,477 perwakilan di Dewan Merdeka.

Satu jamuan makan malam sempena perasmian itu juga akan diadakan di Dewan Tun Razak I pada 8 malam ini.

Perhimpunan Agung Umno 2011, berlangsung selama lima hari bermula dengan perasmian serentak perhimpunan agung tiga sayap Umno iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri pada Selasa.

Perhimpunan agung kali ini dijangka menumpukan kepada pengukuhan jentera pilihan raya parti dalam persediaan parti tunjang pemerintah itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

NONE Dijangka amanat yang disampaikan oleh Najib akan sarat dengan nasihat dan ingatan, bukan sahaja kepada para perwakilan malah kepada berjuta-juta anggota Umno.

Sempena perhimpunan agung kali ini juga, satu forum antarabangsa turut diadakan bertajuk "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global".

Sebanyak 65 perwakilan daripada 25 parti politik dari 22 negara menghadiri forum itu, yang berlangsung selama dua hari dari Isnin.

- Bernama

ADS