Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kalau Abang di Sabah, Ayang di Johor...'
Diterbitkan:  Dec 3, 2011 2:31 PM
Dikemaskini: Dec 4, 2011 1:30 AM

Wakil Umno Negeri Sembilan hari ini mencadangkan supaya proses kelulusan permohonan guru untuk bersara awal dipermudahkan agar dapat memberi ruang kepada lepasan ijazah pendidikan daripada universiti tempatan memulakan kerjaya perguruan.

    

"Isu penempatan guru lepasan ijazah pendidikan ini juga sebenarnya perlu diberi pembelaan kerana mereka pun nak jadi guru, terlatih dan berijazah pula," kata Mustapha Nagoor yang juga naib ketua Umno Jempol.

Berucap membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada perhimpuan Agung Umno 2011 di PWTC, Mustapha turut menyentuh mengenai nasib guru-guru yang berkahwin tetapi terpaksa duduk berjauhan antara suami dan isteri gara-gara ditukarkan tempat kerja ke negeri yang berbeza.

    

"Suami dan isteri yang bertugas sebagai guru jangan dibiar berindu dendam kerana ini fitrah manusia... Kalau Abang di Sabah, Ayang di Johor, bila nak jadi abah, kalau duduk jauh-jauh? Dekatkanlah mereka, barulah boleh tumpu pada kerja,"  katanya disambut gelak ketawa para perwakilan.

Mustapa turut mencadangkan kementerian mengenakan tindakan tegas terhadap guru yang mempunyai masalah disiplin dengan menggunakan peraturan sedia ada.

"Kementerian tidak perlu teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap guru bermasalah kerana ia berkait rapat dengan disiplin dan integriti kakitangan kerajaan. Terdapat guru yang sanggup menipu cakap mereka dapat MC (cuti sakit)... tapi sebetulnya mereka ni turun padang berkempen untuk isteri," katanya.

beliau turut mendesak kerajaan mengkaji semula dasar pengambilan pelajar asing ke negara ini kerana terdapat banyak masalah sosial yang ditimbulkan golongan itu sejak akhir-akhir ini.

    

 "Kita sokong dasar mengantarabangsakan pendidikan di Malaysia dengan pengambilan pelajar warga asing, namun terlalu banyak onar yang ditimbulkan mereka kebelakangan ini... laporan akhbar baru-baru ini mencatatkan 75 peratus kes penipuan internet melibatkan pelajar warga asing Afrika.

    

"Itu yang dari Afrika, belum lagi yang dari negara China. Ambil pas pelajar, dia tak belajar. Suruh masuk kuliah, dia kerja spa. Entah-entah yang dalam video yang kita tengok tu..." katanya.

Wakil Johor Mohd Tahir Mohd Taat mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah politeknik di setiap daerah di negara ini bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan tenaga kerja terlatih serta berdaya saing.

    

Beliau berkata langkah itu akan membawa impak besar kepada sektor pendidikan tinggi di negara ini selaras dengan usaha melahirkan modal insan berkualiti.

"Statistik menunjukkan sehingga 2010, lebih kurang 180,000 pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) tidak mendapat tempat bagi menyambung pelajaran mereka di mana-mana institusi pengajian tinggi.

    

"Sebenarnya mereka ini berpotensi menceburi bidang teknikal dan vokasional. Fenomena ini amat dibimbangi akan meningkatkan kadar pengangguran di negara kita terutamanya di kalangan anak-anak Melayu dan Bumiputera," katanya yang juga Timbalan Ketua Umno Pagoh.

    

Mengambil contoh Myanmar, Mohd Tahir berkata 40 peratus daripada kira-kira 40 juta negara itu berkemahiran dan bagi negara-negara maju pula adalah 60 peratus manakala Malaysia hanya 28 peratus sahaja yang berkemahiran.

    

Beliau berkata Umno Johor juga menyokong penuh keputusan kerajaan memansuhkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

    

"Andaian mengatakan negara akan kerugian dan tidak dapat mengadaptasikan teknologi dari negara luar adalah satu pandangan yang silap. Contohnya Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan menjadi negara maju bukan kerana penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa asing di dalam pembelajarannya," katanya.

- Bernama

ADS