Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan parti itu supaya berbuat sesuatu jika tidak mahu "nikmat" pemerintahan terus berada di pihaknya.

"Jika kita tidak buat sesuatu, nikmat pemerintahan yang diberikan kepada Umno, nikmat kemajuan dan kesejahteraan tidak akan kekal jika kita tidak berbuat sesuatu," katanya.

Dalam sesi penggulungan di perhimpunan agung Umno hari ini, bagaimanan berkata, setakat ini respons yang diterima terhadap usaha tranformasi perdana menteri disambut baik.

Menyentuh soal calon boleh menang, Khairy berharap selepas ini perbincangan itu hendaklah ditamatkan dan menerima siapa sahaja calon yang dinamakan Datuk Seri Najib Razak.

"Selepas ini tak payah lagi cakap. Cukup dengan ikrar kita akan menyokong siapa saja yang presiden pilih sebagai calon boleh menang," katanya.

Beliau juga berkata, selain calon boleh menang, jentera juga mesti berjalan supaya Umno menjadi parti boleh menang bagi menyokong calon terpilih.

"Sekarang ini PM boleh menang kita sudah ada," katanya sambil menegaskan keperluan gandingan orang lama dan baru dalam menghadapi pilihan raya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Khairy berkata faktor calon boleh menang semata-mata belum tentu menjamin

kemenangan BN sekiranya mereka tidak mendapat sokongan dan bantuan daripada jentera pilihan raya parti di kawasan masing-masing.

   

"Peringatan kepada kita semua, calon boleh menang itu seorang sahaja  bagi setiap kawasan, setiap kerusi... kalau nak harapkan calon boleh menang bawa diri sendiri, bawa badan dia sahaja, dia tidak boleh menang.

   

"Kalau sekiranya calon boleh menang itu hanya atas kertas, seorang diri hebat, (dia) tidak akan menang kalau tidak mendapat sokongan jentera-jentera Umno, orang Umno yang tidak bernama, yang tidak ada jawatan, yang bertungkus lumus kempen siang malam membantu beliau, dia akan jadi calon kalah," katanya.

Beliau berkata Umno kini telah mempunyai formula 'winning Prime Minister' (Perdana Menteri yang menang) dan 'winning candidate' (calon yang menang) serta perlu diperkasakan dengan tekad dan perpaduan ampuh anggota Umno di setiap peringkat untuk mewujudkan 'winning party' parti yang menang.

"Kalau kita hanya agungkan calon boleh menang tidak cukup, kita kena agungkan jentera, winnable party (parti boleh menang) untuk menang pilihan raya," katanya.

   

Katanya Pemuda yang diiktiraf sebagai 'hulubalang' parti berikrar akan menyokong pucuk pimpinan tertinggi dan bersedia berjuang menghadapi pilihan raya, apabila semboyan dibunyikan.

   

Khairy berkata program transformasi yang diketengahkan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menarik minat generasi muda terhadap kerajaan BN terutama dalam menyelesaikan kebimbangan golongan itu.

   

Beliau berkata program transformasi telah mengurangkan kerisauan generasi muda berhubung masa depan mereka terutama dalam isu peluang pekerjaan, keusahawanan serta pemerolehan kediaman.

   

"Kalau kita cakap soal perumahan, anak muda nak cari rumah pertama,  kita tengok bagaimana Presiden (Najib) memperkenalkan Perumahan Rakyat 1Malaysia, skim rumah pertamaku, anak muda kini senang beli rumah dapat nikmat daripada Umno dan BN," katanya.

   

Beliau berkata daripada segi keterbukaan dan kebebasan kerajaan juga, golongan berkepentingan mula memberi maklum balas positif terhadap usaha kerajaan memansuhkan beberapa akta yang membawa sinar harapan baru terhadap demokrasi negara.

    

ADS