Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein  mengingatkan anggota parti itu bahawa tuntutan kebebasan dan hak asasi yang giat berkumandang sekarang ini  perlu diseimbangkan.

Katanya, walaupun orang Melayu sanggup memberikan apa sahaja, mereka tidak akan sesekali menggadaikan anak bangsa sendiri.

"Seperti kisah Puteri Gunung Ledang, orang Melayu sanggup memberikan jambatan emas, air mata anak dara dan tujuh dulang hati nyamuk, tetapi semangkuk darah anak sendiri tak akan digadaikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga menteri dalam negeri, kerajaan telah menjalankan pelbagai tranformasi dengan memansuhkan akta lapok, termasuk ISA.

NONE Bagaimanapun, tambahnya, untuk membendung keselamatan dan ketenteraman awam daripada aktiviti keganasan, akta baru mesti ditubuhkan selaras dengan agenda itu.

Mengulas dakwaan bahawa Umno lemah, Hishammuddin berkata, berdasarkan pengalaman lalu, setiap kali menghadapinya Umno akan bertambah kuat.

Ini kerana, kata Hishammuddin, atas semangat kejituan, rakyat dapat diyakinkan bahawa perjuangan Umno konsisten.

"Walau apa pun yang terjadi, orang Umno tetap bersama presiden dan agendanya," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur, Hishammuddin turut menyeru semua anggotanya bersatu bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

"Orang Umno mesti bersatu seperti kita tidak pernah bersatu sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal pula menegaskan bahawa BN mesti mendapat kemenangan besar bagi membentuk kerajaan yang kuat.

Katanya, ketiadaan "kuasa mutlak" untuk mentadbir menyebabkan sukar untuk menjalankan dasar kerajaan, seperti dialami negara di Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Perkara ini serius dan berat untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Menurut Shafie, dengan menjadi kerajaan yang berwibawa sahaja, sasaran mencapai negara maju pada 2020 dan program tranformasi kerajaan  dapat berjalan lancar.

Katanya, setakat ini kerajaan sudah menjadikan negara ini amat berbeza dengan keadaan mula-mula merdeka.

Antara kejayaannya, tambah Shafie, urusan mengerjakan haji semakin mudah dan Felda mencapai keuntungan dari tahun ke tahun.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau yakin Umno dan BN mampu merampas semula Selangor.

Beliau mendakwa terdapat kajian panel bebas untuk PAS yang dapatannya menunjukkan 76 peratus kecewa dengan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Menurutnya, dapatan lain dalam kajian itu:

- Sebanyak 56.1 peratus setuju bahawa DAP mengakis ketuanan Melayu dan bersikap chauvanis.

- Populariti Najib meningkat daripada 48 peratus pada 2008 kepada lebih 55 peratus pada 2011.

- Populariti Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya 20 peratus.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan perkara tersebut, potensi untuk Umno menang dalam pilihan raya "cukup besar".

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut terletak kepada semua peringkat termasuk di peringkat bahagian, cawangan yang menjadi denyut nadi pilihan raya.

ADS