Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ada wakil rakyat Umno yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk memberi laluan kepada muka baru untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ada berjumpa dengan saya secara peribadi... Sanggup beri laluan, beri kepada muka-muka baru," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan.

Menurutnya lagi, setiap pilihan raya umum akan ada perubahan yang mana "mungkin lebih ramai muka-muka baru" diperkenalkan.

Ditanya mengenai penyandang kerusi parlimen sama ada dipilih semula,  Najib berkata, beliau akan melihat sejauh mana prestasi mereka sebagai wakil rakyat.

"Prestasi baik, kemungkinan di pilih semula. Kita tidak kata dua penggal atau tiga penggal, kita tengok kepada winnable candidate," katanya.

"Tidak boleh awal, tak boleh lambat...(Kita) cari masa," katanya sambil menambah beliau tidak boleh mendedahkan komposisi calon lama dan baru kerana "ia perkara dalaman".

Ditanya mengenai harapan kepada pemimpin yang tidak terpilih, Najib berharap mereka memberi sokongan kepada calon baru.

"Dia naik sebab orang sokong dia, ada orang beri laluan... (Mereka) perlu berundur atas kepentingan parti, terima hakikat. Satu hari dulu, mereka dapat sokongan orang lain," katanya.

Ditanya sama ada calon yang tewas dalam pilihan raya lalu akan diberi peluang bertanding lagi, Najib tidak menjawab secara langsung, tetapi menegaskan ia berkaitan calon boleh menang.

Sementara itu, bercakap soal pilihan raya akan datang, Najib berkata beliau yakin akan berjaya merampas semula negeri pembangkang.

"Tetapi kita tidak mahu pandang rendah pembangkang, ia boleh jadi kesilapan yang kita lakukan.

"Untuk ambil alih, ia menuntut persiapan strategi, lebih hebat daripada biasa," katanya.

Menurutnya, persiapan pilihan raya dijalankan secara berterusan dan beliau bersama Muhyiddin akan terus "pusing" negara untuk berkempen.

"Kita akan pusing lagilah. Berapa pusingan saya tak tahulah,"katanya sambil ketawa kecil.

Sementara itu, ditanya tentang cara Umno untuk menangani "calon kontroversi", Najib hanya menjawab ringkas: "Kami tahu bagaimana nak tangani isu itu." 

 

 

 

ADS