Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Masalah label, bukan tak selamat, kata KR1M
Diterbitkan:  Dec 4, 2011 10:51 AM
Dikemaskini: 5:10 AM

Meskipun terdapat beberapa percubaan untuk menjatuhkan reputasi barangan 1Malaysia yang dipasarkan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), namun tindakan itu tidak menjejaskan usaha kerajaan untuk terus berusaha membantu meringankan beban rakyat dan menambah rangkaian KR1M di seluruh negara.

NONE Dan bagi menjamin kualiti produknya, KR1M dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini berkata barangan berkenaan akan dihantar ke makmal-makmal untuk pemeriksaan secara terperinci dan ini akan dilakukan secara berkala bagi memastikannya mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan.

Menurut KR1M, tindakan berkenaan bukan sahaja demi menjaga kepentingan keselamatan pengguna tetapi juga menjaga nama baik syarikat dan etika kejujuran selaku peniaga.  

“Bagi semua 250 produk 1Malaysia yang akan dihantar untuk pemeriksaan makmal akan mencapai kos perbelanjaan sebanyak RM300,000.  

“Bukannya dari kerajaan, bukannya dari NGO, bukannya dari pengurusan KR1M  - malah ia adalah tanggungan sepenuhnya oleh para pengilang dan pembekal produk 1Malaysia itu sendiri iaitu kebanyakannya terdiri dari anak-anak Malaysia,” petik kenyataan itu.

NONE Jelas KR1M, penubuhan kedai rakyat 1Malaysia bukan sahaja menawarkan barangan pada kos rendah dan dengan kualiti barangan standard tetapi memberi peluang perniagaan yang lebih meluas kepada  pengusaha dan pengeluar produk tempatan iaitu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menaik taraf produk keluaran tempatan.

“Bidang perniagaan adalah sesuatu yang mencabar dan sangat tinggi risikonya, masih tidak ramai anak tempatan yang berani untuk menyahut cabaran di dalam bidang ini.

Baru belajar

“Maka, kewujudan KR1M diibaratkan suatu cahaya yang membuka peluang perniagaan kepada rakyat tempatan untuk maju kehadapan. Maka terhasillah produk-produk 1 Malaysia yang dilabelkan secara generik dan dibekalkan oleh pengilang-pengilang kecil dan sederhana (IKS) dari pelbagai bangsa,” kata kenyataan itu.  

NONE Walau bagaimanapun KR1M mengakui, usaha berkenaan memerlukan ketabahan dan kerajinan dan sebagai usahawan IKS yang baru belajar menongkah arus serta meningkat naik, mereka tidak lekang daripada membuat kesilapan.  

Ini, tidak terkecuali kepada para pembekal produk 1Malaysia yang mana produk mereka telah dipertikaikan oleh sesetengah pihak sebagai tidak mematuhi akta pemakanan.

“Produk-produk tersebut telahpun dikenalpasti dan para pembekal telah dimaklumkan untuk memperbetulkan kesilapan dan akan dibenarkan untuk memasuki pasaran semula setelah diperiksa samada mematuhi peraturan.”

Menurut KR1M, ‘product recalls’ atau memanggil semula produk dari pasaran berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini dan ia disebabkan oleh pelbagai perkara serta dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi antarabangsa yang mempunyai sijil ISO dan sijil-sijil standard antarabangsa.

Justeru, kata KR1M, pihaknya akan terus bersama membantu usahawan-usahawan IKS tempatan dalam mengharungi sebarang permasalahan sehingga berjaya.

NONE “Jangan kita jadi seperti ‘Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’.

“Sebaliknya kita harus terus memberi sokongan kepada mereka agar terus bangkit dan berjuang di dunia peruncitan untuk menjadi peniaga yang jujur, kental serta mampu bersaing dengan syarikat-syarikat negara asing yang lain sekaligus menyumbang ke arah kemantapan rantaian pembekalan (supply chain) agar negara kita dapat mencapai status Negara Maju 2020.”  

KR1M juga menjelaskan pemantauan dari Kementerian Kesihatan pada 2 Disember lalu yang mendapati bahawa 13 produk 1Malaysia tidak mematuhi Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebenarnya adalah masalah ketidak-patuhan dari aspek komposisi produk dan pelabelan, dan bukan dari aspek keselamatan makanan.   

Aspek pelabelan  

Produk-produk yang terlibat adalah susu segar, susu sejat, krimer pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam dalam tin, kordial mangga, sebatian minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim, crunchy peanut butter, crispy peanut butter, dan ikan sardin dalam sos tomato.

NONE “Kesimpulan daripada ketujuh-tujuh isu di atas, adalah amat jelas. Empat daripada tujuh produk makanan yang dibangkitkan adalah berkaitan aspek pelabelan, manakala tiga produk makanan lagi adalah berkaitan dengan aspek komposisi produk.

“Pelabelan dan komposisi produk adalah dua isu yang boleh terjadi kepada mana-mana produk sekalipun, apatah lagi bagi produk yang baru belajar memasuki pasaran. Ia adalah sesuatu yang mesti diperbetulkan dan diperbaiki, tetapi bukanlah ‘tidak selamat’ ataupun memudaratkan sekiranya diambil,” petik kenyataan itu.

Mengenai susu sejat, menurut KR1M, produk sebenarnya adalah krimer sejat tetapi dilabel sebagai susu sejat di dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun nama sebutan sebenar produk tersebut dalam bahasa Inggeris adalah betul.

NONE Bagi krimer pekat manis pula, ia mematuhi kandungan lemak tetapi tidak mematuhi peratus pepejal bukan gula, manakala bagi tin ikan sardin, tiga daripada lima sampel ikan sardin dalam tin 155g adalah kurang daripada 55 peratus kandungan ikan mengikut standard yang diperuntukkan.

“Tin kari ayam - nama sebutan sebenar pada label tidak menyatakan kehadiran kentang di dalam produk tersebut.

“Ais Krim - pengilang tidak menyatakan nama sebutan sebenar produk pada label iaitu konfeksi ais.

“Jem buah-buahan - kandungan buah-buahan di dalam jem buah-buahan campuran mematuhi dari segi peratus kandungan buah tetapi label jem buah-buahan campuran tidak tepat kerana tidak menyatakan buah-buahan yang digunakan di dalam jem tersebut sebagai ramuan.”

ADS