Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Orang Melayu dan umat Islam tidak mempunyai pilihan melainkan menegakkan pemerintahan kerajaan BN kerana ia jalan tunggal menjamin depan bangsa Melayu dan melindungi maruah agama Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

najib at pekida event 051211 02 “Masa depan kita akan bertukar menjadi masa depan yang penuh gerhana kerana asas kita menjadi bangsa mulia dan bermaruah dan menjanjikan masa depan lebih cerah kerana pemerintahan hari ini.

“Sebab itu perjuangan kita mulia dan suci kerana kita pada asasnya berjuang mempertahankan kelangsungan kuasa yang ada pada tangan kita. Jika kuasa terlepas, Nauzubillah, cita-cita kita akan terkubur," katanya.

Pada ucapannya kepada kira-kira 10,000 anggota Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), di Politeknik Sultan Salahahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini, Najib mengakui rakyat mempunyai pilihan.

Namun, katanya soalannya adalah mereka ini lebih baik daripada pentadbiran sekarang.

"Bolehkah mereka jamin bahawa kedudukan istimewa yang kita nikmati sekarang tidak akan terhakis?

“Bagaimana dengan maruah Islam dan orang Melayu?” soalnya dan menambah, rakyat sebenarnya tidak ada pilihan melainkan menegakkan pemerintahan sedia ada.

Walaupun Najib tidak menamakan alternatif itu, tetapi adalah jelas beliau merujuk kepada Pakatan Rakyat.

"Belum lagi mereka berkuasa mereka telah berhasrat untuk mengurangkan separuh daripada kakitangan awam, termasuk para guru, anggota polis dan tentera. Siapa yang jadi mangsa kalau ratusan ribuan penjawat awam dibuang kerja mengikut perancangan mereka itu?

“Mereka juga ingin mengubah bendera Malaysia, mencemar kemuliaan Raja-Raja Melayu dan mempersoalkan dasar-dasar untuk membantu orang-orang  Melayu dan Bumiputera,” katanya.

najib at pekida event 051211 audience Beliau juga memberi amaran masa depan orang Melayu akan ‘gerhana’ jika BN pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-13.

Pada ucapannya itu, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur berhubung hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Oleh itu jangan sekali-kali mereka (orang bukan Melayu) mencuit perasaan orang-orang Melayu dengan hendak ubah apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang sudah pun kita rundingkan waktu Merdeka dahulu.

"Perkara-perkara ini kita akan pertahankan," katanya.

Katanya orang Melayu tidak mahu sesiapa cuba untuk merungkaikan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan Malaysia mesti dibina berasaskan perlembagaan.

book 50 dalil pakatan tidak layak jadi pemerintah "Kita percaya dalam kerangka Perlembagaan kita, sama ada tersurat atau tersirat, sudah boleh kita membina sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua kaum," katanya.

Najib berkata pilihan raya akan datang milik BN kerana telah berjuang membela nasib rakyat, adil dan tidak pernah menyimpang daripada prinsip agama.

Selaku Perdana Menteri, Najib juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan berharap rakyat memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk melakarkan masa depan yang baik.

Katanya masa depan yang baik adalah berdasarkan paksi realiti yang sebenar dan tidak seperti setengah pihak yang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala.

Turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.

Menyentuh mengenai perjuangan Pekida dalam mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, Najib berkata beliau berasa bangga dengan pencapaiannya selama ini.

"Pekida adalah sebuah pertubuhan yang tidak pernah malap jauh sekali berkubur sebaliknya tetap menjadi pertubuhan yang ada kekuatan dan tidak dapat kita sangsi dan nafikan dari segi semangat, roh untuk berjuang habis-habisan mempertahankan apa yang difikirkan mulia dan suci.

"Saya yakin Pekida akan terus menegakkan pemerintahan yang mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di Tanah Melayu," katanya.

[Baca berita penuh]

ADS