Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RTM dakwa tiada masalah dengan 'reformasi' Bunkface

Ketua pengarah penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail berkata, stesen milik kerajaan itu tidak mempunyai masalah dengan perkataan "reformasi" yang digunakan dalam lirik lagu Panik oleh kumpulan Bunkface.

Sebaliknya, kata Norhayati, keprihatinan RTM adalah berhubung perkataan "celakamu" dalam lagu yang dipetik daripada album kedua kumpulan punk rock itu.

"...tak ada kena mengena dengan konspirasi, apa semua itu," katanya ketika ketika ditanya sama ada tindakan RTM yang tidak mahu menyiarkan lagu tersebut dalam saluran mereka adalah berhubung perkataan "reformasi" dalam lagu tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam, Norhayati berkata setakat ini RTM juga masih belum membuat apa-apa keputusan untuk mengharamkan lagu tersebut.

Jelasnya, jawatankuasa penilai lagu yang dipengerusikan pengarah bahagian perkhidmatan muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail hanya memutuskan bahawa lagu itu “tidak digalakkan” untuk disiarkan.

“Kita tak haramkan, tapi tak galakkan... Kita belum buat keputusan apa-apa lagi, melainkan (Bunkface) mahu tukar perkataan itu,” kata Norhayati lagi.

NONE Perkataan "celakamu" yang dipertikaikan itu diselitkan dalam bait ketiga terakhir lagu berkenaan – "Ku selalu berasingan jauh/ Dan kubiarkan mulut celakamu/ Kan kutunggu-tunggu/ Ditentukan padaku padamu/ Pada mereka yang setuju."

Bait kelima lagu itu pula berbunyi: "Reformasi mana sakti/ Sini semua beraksi/ Ancaman mereka tiada makna."

Ditanya lanjut, Norhayati berkata RTM tidak mahu memadamkan bunyi perkataan tersebut sekiranya lagu itu dimainkan oleh rangkaian stesen nasional dan stesen negerinya.

"Kalau kita nak bleep mungkin ada gangguan kepada bunyi itu," katanya yang menambah RTM mahukan bunyi yang tiada cacat cela untuk kualiti penyiarannya.

Sementara itu, pengurus Bunkface, Mohd Rafie Saruddin berkata makluman yang diterima daripada RTM sebelum ini adalah berhubung kedua-dua perkata "celakamu" dan "reformasi."

Makluman berkenaan, daripada seorang pegawai RTM, menyatakan bahawa lagu berkenaan tidak boleh disiarkan kerana liriknya mengandungi kedua-dua perkataan tersebut, katanya.

Masalah berkenaan hanya melibatkan RTM dan stesen swasta lain bebas memainkan lagu Panik , tambahnya.

Tegasnya, Bunkface juga tidak akan mengubah lirik lagu tersebut dan tidak akan membuat rayuan dalam bentuk surat menyurat selagi mereka tidak mendapat penjelasan memuaskan daripada RTM.

Mengulas mengenai mesej sebenar lagu tersebut, Mohd Rafie berkata karya tersebut antara lainnya menganjurkan "reformasi" berkenaan untuk menarik minat anak muda kepada politik.

"(Bunkface) memikirkan apa yang terjadi sekarang, kenapa anak muda tak minat politik dan fikir politik itu kotor.

"Kita prihatin kerana kalau perkara ini berterusan, siapa yang akan mengundi pada masa depan?," katanya lagi ketika dihubungi.

Bunkface yang dianggotai tiga anak muda – Sam, Youk dan Paan – pernah meraih tempat pertama dalam program carta lagu Hitz.fm selama lapan minggu dan di stesen Fly.fm selama 10 minggu melalui lagu Silly Lily .

Bunkface juga pernah memenangi anugerah Shout! Awards anjuran 8TV dan turut membuat persembahan di One Movement for Music Perth dan Maldives Breakout Festival.

ADS