Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memantapkan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti yang dilanda masalah itu melalui perubahan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti komponen BN tertua di Sarawak itu perlu menyusun semula jentera parti dengan memikir dan melihat semula strategi kemenangan dan imejnya pada masa ini.
    
"Kamu mesti sedar bahawa jika kamu tidak menyesuaikannya dengan kehendak rakyat dan jika kamu tidak mahu berubah, pada masa itu anda akan diubah..dengan kata lain, berubah apa yang perlu diubah untuk menjadikan SUPP sebagai pilihan rakyat sekali lagi," katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan tiga tahun sekali SUPP kali ke-22 di Kuching.
    
Turut hadir Presiden SUPP yang akan mengundurkan diri Tan Sri Dr George Chan dan Menteri Perumahan dan pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang mewakili Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
    
Najib berkata beliau yakin bahawa BN Negeri, terutama SUPP, boleh mememenangi semula kepercayaan penduduk bandar jika ia berusaha
bersungguh-sungguh dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan lain.
    
Dalam pilihan raya negeri April tahunini, beliau berkata prestasi SUPP adalah teruk dengan memenangi hanya enam daripada 19 kerusi yang ditandingi.

"Kamu boleh bercakap apa saja dan menjanjikan apa jua perubahan yang anda boleh lakukan tetapi akhirnya ujian paling besar adalah sama ada ia memadai untuk meyakinkan rakyat melalui peti undi dan mengundi untuk anda," kata Najib.
    
"Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, tak ada tempat untuk naib johan, cuma ada dua pilihan..iaitu sama ada anda membentuk kerajaan atau menjadi pembangkang," katanya kepada 906 perwakilan dan pemerhati persidangan itu.
    
Pilihan raya umum lalu adalah satu yang mengejutkan bagi BN, tetapi beliau percaya BN telah berubah.
    
Beliau berkata rakyat kini lebih yakin kepada parti pemerintah kerana menyedari ia mempunyai hala tuju yang jelas untuk negara atas kesediaan untuk mengemukakan agenda menarik dan lebih segar termasuk Program Transformasi Kerajaan, yang boleh dicapai.
    
Beroperasi dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen juga bermakna bahawa perubahan sedemikian adalah berdasarkan kepada kehendak rakyat, dan ia adalah sebab kenapa negara boleh mengelakkan keadaan kacau bilau seperti yang berlaku di Afrika Utara dan Timur tengah, katanya.
    
Najib, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum semakin hampir, berharap supaya SUPP akan bersiap sedia apabila masanya tiba.
    
"SUPP adalah sebuah parti lama dan mesti diberi tenaga semula. Kamu (SUPP) telah banyak berjasa, telah melalui banyak pengalaman tetapi ia masih belum cukup kerana masanya masih panjang lagi," katanya mengenai parti yang berusia 51 tahun yang memenangi enam daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi dalam pilihan raya umum 2008.
    
"Saya menanti-nantikan perkara ini kerana sebaik ia berakhir, kita telah merancang banyak perkara untuk Sarawak kerana saya mahu negeri ini pesat membangun," katanya sambil menambah kata bahawa beliau akan bekerjasama dengan ketua menteri.
    
Beliau memberi jaminan bahawa Sarawak di bawah pemerintahan BN akan berkembang maju sebagai sebuah negeri dan rakyatnya akan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr George Chan, 75, atas sumbangan dan jasanya sepanjang terbabit dalam politik dan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata selain menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Dr Chan yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) banyak berjasa kepada rakyat dan negeri Sarawak.
    
"Selepas ini  Dr Chan pastinya mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga dan kita di BN amat menghargai jasa beliau," katanya ketika berucap di majlis pelancaran buku "What Now" tulisan Dr Chan.
    
Najib berkata sebagai pemimpin, Dr Chan telah memberi sumbangan yang besar sepanjang perkhidmatannya sehingga sanggup berkorban masa untuk keluarga anak dan cucu.
    
Sementara itu, Dr Chan berkata selepas sekian lama terbabit dalam politik dan kerajaan kini masanya lebih banyak dihabiskan bersama keluarga dan menulis.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata dengan sokongan keluarga, beliau berharap selepas ini dapat menghasilkan buku-buku yang boleh menjadi inspirasi generasi akan datang.
    
"Saya berharap ada masa untuk menulis lagi selepas ini dengan sokongan isteri untuk tujuan kebajikan," katanya yang mempunyai empat anak perempuan dan 11 cucu.
    
Dr Chan mula terbabit dalam politik pada 1980 sebagai Pembantu Ketua Setiausaha SUPP sebelum menjadi Timbalan Pengerusi SUPP (1982 hingga 1989) dan menjadi Ketua Setiausaha SUPP pada 1990 hingga 1996 dan menjadi presiden SUPP sejak 1996 hingga ke hari ini.
    
Dr Chan pernah menjadi ahli parlimen Lambir setelah memenangi kerusi itu pilihan raya umum 1982 dan bermula pada 1991 hingga 2011 sebagai ADUN Piasau sebelum tewas kepada calon DAP dalam pilihan raya negeri April lepas.   
    
Selain menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak sejak 1996, Dr Chan pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Kemudahan Awam, Menteri Pembangunan Industri, Menteri Permodenan Pertanian, Menteri Pembangunan Industri dan Menteri Pelancongan dan Warisan.
    
- Bernama