DAP dikatakan sedang mengintai bagi meletakkan calon Melayu di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS dan PKR bagi membolehkannya menduduki kerusi menteri besar sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor dan Perak selepas pilihan raya umum akan datang.
Menurut akhbar Sinar Harian yang tidak menamakan sumbernya, kerusi yang diintai di Selangor itu adalah di Paya Jaras dan Seri Serdang dan kerusi Pelabuhan Klang yang dimenangi oleh calon PKR Badrul Hisham Abdullah yang kemudiannya meninggalkan parti itu.
Selain tiga kerusi berkenaan, akhbar itu juga mendakwa DAP sedang mengintai sekurang-kurangnya lapan kerusi lagi di Selangor, dan fokus mereka adalah kawasan yang ditandingi PAS dan PKR tetapi tewas.
“Mereka sedar ada undang-undang menetapkan bahawa hanya orang Melayu yang beragama Islam boleh jadi Menteri Besar. Dan itulah yang berlaku di Perak pada pilihan raya umum lalu. Walaupun DAP menang banyak kerusi tetapi ia masih tidak boleh jadi ketua kerajaan.
Jadi sekarang mereka sudah ambil pengajaran daripada Perak, dan mahu letak ramai calon Melayu untuk memastikan kerusi Menteri Besar tetap jadi hak mereka, bukan Pas atau PKR lagi,” kata sumber Pakatan yang dipetik Sinar Harian .
Akhbar itu juga memetik setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman yang berkata tidak ada masalah jika DAP mahu meletakkan calon Melayu tetapi pembahagian kerusi masih kekal mengikut pilihan raya umum 2008 lalu.
“Jika DAP mahu meletakkan calon Melayu, maka parti tersebut boleh letak berdasarkan pembahagian kerusi yang telah ditetapkan.
“Apa yang penting, kerusi masih kekal mengikut 2008, mereka tidak boleh mengambil kerusi PAS mahupun PKR semata-mata mahu meletakkan calon Melayu,” katanya lagi dipetik akhbar itu.
