Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Pemuda MCA juga mahu Shahrizat undur
Diterbitkan:  Dec 12, 2011 12:01 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Selepas dibidas secara terbuka oleh beberapa pemimpin Umno, parti komponen BN, MCA akhirnya berani bersuara mendesak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya berundur selepas terpalit dengan kontroversi projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) milik suaminya.

NONE "Shahrizat telah ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum lalu. Kali ini, beliau terbabit pula dalam isu NFC,  dengan ini, tidak ada sebab untuk beliau bertanding sekali lagi," kata timbalan setiausaha Pemuda MCA, Loh Chew Jun dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi parlimen beliau di Lembah Pantai. Ketua Wanita Umno itu tumbang di tangan  naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun, kemudiannya dilantik sebagai senator dan diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Loh juga berkata, kegagalan Shahrizat memberi penjelasan berhubung pembabitan suaminya dalam projek NFC boleh mengakibatkan 'kerusi selamat' BN bertukar menjadi 'kerusi berbahaya' jika pembangkang mengeksploitasi dan mensensasikan isu itu di seluruh negara.

azlan Justeru, beliau juga mahu Shahrizat memberi penjelasan mengenai semua dakwaan yang berkaitan, termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dana pinjaman mudah yang diberikan kepada NFC.

Kata Loh, adalah malang jika usaha-usaha semua parti komponen BN untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas 'tsunami politik' pada tahun 2008 digerhanakan oleh masalah peribadi Shahrizat.

Sebelum ini, pelbagai pihak meningkatkan tekanan pada Shahrizat supaya berundur tetapi kepimpinan tertinggi Umno masih belum membuat pendirian rasmi mengenai perkara itu.

azlan Antara mereka yang secara terbuka mendesak Shahrizat supaya melepaskan jawatannya, adalah  ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Skandal NFC membabitkan sejumlah RM250 juta dana awam yang diberikan kepada syarikat milik suami Shahrizat bagi tujuan menjalankan projek penternakan lembu pada tahun 2008.

Bagaimanapun Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan projek itu  berdada dalam keadaan kucar kacir.

Berikutan itu, PKR membuat pendedahan demi pendedahan yang mendakwa berlaku penyelewengan terhadap dana berkenaan.

NONE Antara pendedahan mereka, dana itu antara lain digunakan untuk tujuan berikut:

  • Membeli dua unit kondominium mewah 'One Menerong' (RM13.8 juta)
  • Membiayai Umrah atas nama suami dan anak lelaki (RM31,580)
  • Perbelanjaan peribadi (RM26,400)
  • Membeli Mercedes Benz CLS350 (RM534,622)
  • Membeli dua lot tanah di Putrajaya (RM3.36 juta)
  • Percutian mewah (RM455,423)

ADS