Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal PKFZ: Ling hanya kambing hitam, kata peguam
Diterbitkan:  Dec 14, 2011 8:47 AM
Dikemaskini: 12:50 AM

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sing hanyalah 'kambing hitam' dan kabinet sememangnya dimaklumkan mengenai faedah pada kadar 7.5 peratus setahun.

Peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling berkata anak guamnya juga tidak memberikan gambaran yang salah kepada kabinet bahawa kadar RM25 bagi satu kaki persegi (skp) dan faedah 7.5 peratus itu telah disahkan serta dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Beliau berkata meskipun Dr Ling adalah penandatangan surat kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertarikh 29 Jun 2002 serta nota bertarikh 29 Okt tahun yang sama, kedua-dua dokumen tidak disediakan sendiri oleh tertuduh.

"Dr Ling tidak terlibat langsung dalam memberikan apa-apa maklumat kepada Tun Dr Mahathir melalui surat berkenaan. Selain itu, tidak ada bukti yang menunjukkan Dr Ling meminda draf kedua-dua eksibit itu," katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan pada perbicaraan yang membabitkan Dr Ling dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Wong juga berkata penilaian JPPH pada kadar RM25 skp dalam surat jabatan itu pada September 2000 tidak termasuk jumlah keseluruhan faedah yang perlu dibayar.

Wong berkata pada setiap masa yang berkenaan, Kementerian Kewangan turut terlibat secara aktif bersama Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kementerian Pengangkutan dalam projek PKFZ, serta mempunyai pengetahuan mengenai surat JPPH.

"Pada setiap masa yang berkenaan, Dr Ling dibantu pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dalam projek PKFZ, termasuk kandungan surat JPPH itu.

"Ketika mesyuarat kabinet, surat JPPH itu tidak lagi relevan, terutama dalam isu sama ada tanah berkenaan harus dibeli atau wajib diperoleh mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960," katanya.

Beliau berkata selain itu, pendakwaan gagal membuktikan bahawa semua anggota kabinet terutama Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu) dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (yang mempengerusikan mesyuarat kabibet pada 2007), telah diperdayakan.

"Pendakwaan juga gagal membuktikan sehingga melampaui sebarang keraguan yang munasabah bahawa penyembunyian atau penipuan yang didakwa dilakukan itu telah menyebabkan atau boleh menyebabkan kerugian secara salah kepada Kerajaan Persekutuan ketika keputusan kabinet dibuat," katanya.

Wong juga berkata tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan Dr Ling mendapat manfaat daripada penjualan tanah oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) kepada LPK dan daripada projek PKFZ.

Beliau berkata pendakwaan juga gagal memanggil Dr Mahathir, Abdullah, Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim (ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri) serta 19 menteri lain sebagai saksi, tanpa sebarang alasan.

"Dr Mahathir merupakan saksi penting dalam kes ini kerana berdasarkan dokumen secara kronologi, beliau mempunyai peranan peribadi dan aktif dalam projek PKFZ. Abdullah juga perlu dipanggil kerana KDSB menulis sepucuk surat bertarikh 4 Julai 2001 kepada beliau mengenai projek PKFZ.

"Najib juga adalah saksi penting kerana beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet pada 27 Jun 2007, manakala Dr Rais pula memberi pandangan bahawa tanah itu harus dibeli berdasarkan terma yang ditawarkan KDSB," katanya.

Sehubungan itu, Wong meminta mahkamah melepas dan membebaskan Dr Ling daripada ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Dr Ling, 68, didakwa menipu Kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Penggulungan hujah di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok.

- Bernama

ADS