Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Pendekatan baru terjemah realiti Islam
Diterbitkan:  Dec 21, 2011 4:51 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar PAS, bermakna mempertikaikan keputusan majlis syura, muktamar agung dan pendirian parti dan ia tidak sepatutnya berlaku, kata ketua penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

"PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi," katanya dalam satu kenyataan.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man Apa yang perlaku, tambahnya, ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin'.

"Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat.

"Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip," tambahnya.

Namun, tegas Tuan Ibrahim, sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik, akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan.

"Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruangtamu itu," tegasnya.

Perkembangan ini, tegasnya, menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah 'rahmatal lil a'lamin' telah terpesong daripada dasarnya.

"Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang.

"Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri," tegasnya.

Apapun, Tuan Ibrahim menyifatkannya sebagai "hanyalah kemuncup dalam perjuangan".

"Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat diseluar atau stokin; teruskan permainan sehingga selesai perlawanan ini.

"Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga," tambanya.

Dengan memetik analogi pasukan permainan, Tuan Ibrahim berkata: "Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player.

"Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

"Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama," tambahnya.

ADS