Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA menggesa kerajaan bertindak tegas dengan menggunakan Akta Hasutan 1948 terhadap pihak yang cuba mempersoalkan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya kesal dan tidak senang hati dengan kenyataan seorang paderi yang didakwa mempersoalkan artikel tersebut untuk "membuli kaum yang lain".

"PERKASA berpendapat ia merupakan satu kenyataan provokasi, tidak bertanggungjawab, mengundang suasana tidak senang hati antara kaum dan berbaur hasutan.

"Ia satu kontrak sosial yang tidak boleh disentuh (oleh kaum lain) dan hak kebebasan kaum-kaum lain dijamin dalam perlembagaan," katanya dalam sidang media petang ini.

Menurutnya lagi, membangkitkan perkara 153 itu "nampak seolah-olah nak berseteru dengan Islam dan Melayu".

"Kenyataan ini boleh mengelirukan orang ramai dan menghasut orang muda... Saya berharap kenyataan (seperti) ini tidak digunakan lagi," katanya yang berharap pihak berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

Reverend Eu Hong Seng Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship Eu Hong Seng ( kiri ) pada Sabtu dilaporkan berkata, terdapat perbincangan berterusan terhadap hak kumpulan majoriti bawah Perkara 153 tetapi hak minoriti jarang diperkatakan.

Dalam ucapan pembukaan dalam majlis minum petang tahunan perayaan hari Natal anjuran Persekutuan Kristian Malaysia, beliau berpendapat tindakan itu sama seperti "membuli".

Akta hubungan kaum: Lihat dulu, kata Ibrahim

Sehubungan itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas juga berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut Khamis ini.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa penggunaan Akta Hasutan menjadikan negara "undur ke belakang" berbanding janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu meliberalisasikan undang-undang.

"Saya tidak nampak soal (negara) kita undur ke belakang. Perdana menteri sudah memberitahu bahawasanya dalam apa (juga) bentuk liberalisasi, asas perlembagaan negara tidak diusik.

"Maknanya hak semua kaum dihormati, kepentingan kaum lain diambil berat. Kita juga tidak menentang. Cumanya jangan usik asas perlembagaan negara. Kita juga tidak mahu asas perlembagaan negara dijadikan bahan retorik," tegasnya.

Mengulas mengenai cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mencadangkan untuk memperkenalkan undang-undang hubungan antara kaum, Ibrahim berkata pihaknya akan melihat terlebih dahulu cadangannya terlebih dahulu.

Menurut Ibrahim, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menyokong undang-undang tersebut jika ia memberi kebaikan untuk negara.

ADS