Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemelut selesai, Hasan Ali temui Nik Aziz
Diterbitkan:  Dec 28, 2011 3:58 PM
Dikemaskini: Dec 29, 2011 3:41 AM

Exco Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali telahpun membuat pertemuan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Harakahdaily melaporkan Hasan telah menarik balik kenyataannya mengkritik PAS berhubung isu negara berkebajikan dan meminta maaf kepada pimpinan PAS.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi menteri besar Kelantan di JKR 10. Hadir sama ialah presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Media rasmi PAS itu memetik Nik Aziz sebagai berkata: "Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Dr Hasan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hasan."

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pertemuan ini dianjurkan oleh PAS pusat.

"Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia," tambahnya.

Menurut Nik Aziz, beliau juga telah membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di kediaman rasminya semalam sebagai tanda kesyukuran penyelesaian kes tersebut.

"Saya berharap PAS pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.

Hasan bagaimanapun dalam satu kenyataan lewat malam ini menafikan bahawa beliau telah pergi ke Kota Bharu semata-mata untuk bertemu dan meminta maaf kepada pemimpin tertinggi PAS.

Katanya, beliau telahpun menarik balik komen terhadap dasar Negara Berkebajikan PAS dan meminta maaf kepada pemimpin tertinggi parti dalam sidang medianya pada 24 Disember.

Pertemuan pada hari Selasa itu sebaliknya menyentuh soal hala tuju parti, persediaan untuk pilihan raya umum dan turut berkait dengan lidah parti itu, Harakah .

ADS