Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes 'babi': 4 ditahan, 13 disiasat
Diterbitkan:  Jan 2, 2012 2:57 PM
Dikemaskini: Jan 3, 2012 12:23 AM

Polis menahan empat lelaki semalam bagi membantu siasatan berhubung penemuan tengkorak dan daging yang dipercayai khinzir di luar pagar Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, di Johor Baharu, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang berumur 15 hingga 33 tahun itu ditahan awal pagi semalam di sekitar bandar raya ini oleh pasukan khas bagi menyiasat kes itu, yang diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.

NONE "Polis dalam menjalankan siasatan kes berkenaan telah merakamkan percakapan 13 individu setakat ini. Polis juga ingin mengesan seorang lelaki berumur 40an bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Baharu, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

Beliau berkata berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan Pejabat Veterinar Sepang, Selangor bagi mengesahkan sama ada tengkorak dan cebisan daging itu adalah khinzir atau sebaliknya.

Jumaat lepas, jemaah Masjid Al-Falah berkenaan terkejut dengan penemuan tengkorak dan daging yang dipercayai khinzir itu yang diletakkan di dua lokasi di masjid berkenaan.

NONE Dalam kejadian pertama, kira-kira pukul 4.45 petang, Khamis lepas, empat kepala dipercayai khinzir itu ditemui di pagar belakang masjid berkenaan manakala lima lagi kepala dipercayai haiwan yang sama ditemui kira-kira pukul 6.30 pagi esoknya, di perkarangan luar pintu masuk masjid oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

Sementara itu, dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun berkawan selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Harmonium 18, Taman Desa Tebrau, di Johor Baharu, Jumaat lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, polis merampas pelbagai barangan yang disyaki hasil samun termasuk wang tunai RM10,000, 165 jam tangan, 30 telefon bimbit, 37 biji pil Eramin 5, enam paket plastik lut sinar mengandungi ketulan hablur dadah jenis syabu, enam komputer riba, sebuah kereta Mercedes Benz yang dilaporkan hilang di Kota Tinggi dan lapan botol minuman keras.

Katanya, salah seorang suspek yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk menceroboh dan penyalahgunaan dadah.

"Polis berjaya menyelesaikan 29 kes samun berkawan menerusi penahanan terbabit. Kesemua yang berumur 20 hingga 47 tahun itu kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya.

- Bernama

ADS