Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan berkata, keadaan trak meriam air yang digunakan untuk mengambil tindakan ke atas peserta perhimpunan BERSIH berada dalam keadaan uzur.

Malah, anggota yang mengendalikan meriam itu juga tidak dapat melihat dengan jelas sasaran mereka ketika bertindak ke atas kumpulan berkenaan.

Pengendali meriam air berkenaan, Sjn Idzha Salim berkata, skrin pengadang trak berperisai berkenaan juga kabur dan telahpun mengalami keretakan.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan suasana kelam kabut dan juga keadaan hujan serta asap daripada gas pemedih mata yang ditembak sebelum tindakan menggunakan meriam air dijalankan, katanya.

Kenyataannya di inkuiri Suhakam itu menyebabkan peguam pemerhati, Lim Chee Wee bertanya sekiranya penggunaan trak meriam air tersebut menimbulkan bahaya kepada peserta perhimpunan dan juga anggota polis

Idzha, 45, daripada Unit 5, Cawangan Meriam Air FRU bagaimanapun tidak bersetuju dengan pernyataan itu.

"Tindakan paling efisien (ke atas peserta demonstrasi) adalah dengan semburan water cannon (meriam air)," katanya yang mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam tindakan tersebut.

Beliau juga memberitahu anggota panel bahawa unit berkenaan diarahkan untuk mengambil tindakan maksimum ke atas peserta perhimpunan itu.

Siasatan Suhakam yang masuk hari ketujuh hari ini adalah untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi dalam tindakan unit yang menyuraikan perhimpunan di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu.

ADS