Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi NGO, parti bantah himpunan 9 Jan
Diterbitkan:  Jan 3, 2012 8:34 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Kempen "Bebaskan Anwar 901" terus dikecam pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan itu menghina sistem kehakiman negara.

Beberapa NGO mewakili penduduk Melayu dan India sekitar daerah Temerloh, hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Lanchang manakala satu lagi dibuat Pemuda MIC dan Puteri Umno Bahagian Temerloh di Balai Polis Temerloh.

Jurucakap NGO terbabit, Razmi Sudin berkata pihaknya mahu polis bertindak segera menghalang perhimpunan haram yang dirancang di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin ini.

"Taktik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengheret para penyokongnya supaya membuat kacau-bilau pada hari tersebut menunjukkan beliau pemimpin yang tidak bertanggungjawab sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadinya.

"Sebagai pemimpin yang mempunyai integriti, beliau sepatutnya sudah lama mengundur diri daripada arena politik apabila disabitkan dengan tuduhan meliwat di mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Balai Polis Lanchang, dekat Temerloh.

Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri Umno Temerloh, Nurashikin Sulaiman berkata, Puteri Umno dan Pemuda MIC Temerloh yang juga membuat laporan polis berharap polis bertindak tegas dalam menghalang perhimpunan itu diteruskan.

"Kempen "Bebaskan Anwar 901" secara terang-terangan mencabar dan melanggar undang-undang negara yang bertujuan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru-hara," katanya.  

Beliau berkata para penyokong tegar Anwar perlu berpijak dibumi nyata untuk menerima kenyataan jika pemimpin kesayangan mereka itu disabitkan dengan kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS