Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakatan diberi amaran agar tak salah gunakan masjid

Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida) memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak membuat provokasi sewaktu program dakwah dan qiamullail anjuran mereka yang berlangsung selama dua hari bermula 8 Januari ini

Program tersebut berakhir pada jam 11 pagi, 9 Januari - hari keputusan perbicaraan liwat 2 Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang medianya,  Mohd Shahril Abdul Aziz memberitahu media berhubung Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh memanggilnya memberi penjelasan mengenai program dakwah dan qiamullail yang di rancangkan selama dua hari bermula Ahad ini.

Katanya, program tersebut telah lama dirancang di Masjid Wilayah Persekutuan dan memberi jaminan tidak berlaku pertembungan ahlinya dengan peserta perhimpunan 'Bebaskan Anwar' pada tarikh tersebut.

"Kita ada program qiamullail... Tolong jangan ganggu gugat (program kami).

"Ahli Pekida tidak akan membuat provokasi dan kami datang untuk berdakwah.

"Dan jangan ada pihak buat provokasi (kepada kami). Kalau nak serta program kami atau menunaikan solat, digalakkan," katanya dengan suara yang tegas.

Beliau turut menyatakan kehairanannya berhubung jemputan polis untuk hadir ke pejabat IPK hari ini, sedangkan program mereka tidak ada kena mengena dengan perhimpunan anjuran PKR itu.

Ditanya jumlah ahli Pekida yang akan hadir dalam program dakwa itu, Mohd Shahril tidak mendedahkan angkanya, tapi menyatakan "ramai" akan hadir.

"Tidak ada perarakan, kami berada dalam masjid," katanya sambil menambah program mereka dijangka tamat pada Isnin, kira-kira jam 11 pagi.

Sementara itu, NGO pendesak Melayu PERKASA berkata akur dengan arahan polis agar tidak berada di kawasan mahkamah, sebaliknya berada dalam kawasan masjid pada tarikh tersebut.

Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar berkatanya, pihaknya bersama-sama Pekida dalam program qiamullail dan dakwah seperti mana yang dirancang sebelum ini.

"Kita akan berada di kawasan masjid... Kita tidak akan keluar dari kawasan masjid," katanya kepada pemberita selepas lebih dua jam mengadakan pertemuan dengan Mohmad.

Katanya, dijangka 2,000 orang akan hadir dalam program tersebut, dan memberi jaminan pihak penganjur akan memastikan perjalanan program dan ahli mereka tidak melakukan perkara yang ditegah.

Katanya, pihaknya yakin pihak polis dapat mengawal keselamatan dan perhimpunan yang berlangsung pada hari tersebut serta mengambil tindakan berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada.

Antara program yang akan diadakan adalah solat hajat termasuk ceramah.

"Kita dapat kebenaran daripada Jakim dan pengurusan masjid untuk mengadakan qiamullail dalam kawasan masjid.

"Ia bukan untuk Saiful. Tentang dia, kita serah kepada mahkamah," katanya.

ADS