Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Guna zakat bayar kos guaman tak canggah syarak'
Diterbitkan:  Jan 6, 2012 2:56 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr Muhammad Yamin Ismail hari ini berkata jika sekalipun wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman, ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, ia berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bil 2/2009 yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 3 September 2009 yang memperakukan Anggaran Belanjawan MAIWP 2010 termasuk penggunaan wang zakat bagi maksud bayaran khidmat guaman.

"Walau bagaimanapun, pengurusan MAIWP amat berhati-hati dalam penggunaan wang zakat sekalipun terdapat keputusan berkenaan," kata Dr Muhammad Yamin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat MAIWP untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain.

Kos guaman itu adalah bersabit kes tuntutan qazaf oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Jamil; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah tersebut telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Berikut adalah penjelasan penuh Dr Muhammad Yamin berhubung isu penggunaan wang zakat:

Adalah dimaklumkan bahawa laporan media cetak Harakah dan Suara Keadilan serta media online pro pembangkang adalah tidak tepat dan secara terang-terangan bermotifkan politik.

Isu ini telah mengheret MAIWP sebagai sebuah institusi agama yang dinaungi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke dalam kencah perbalahan politik yang tidak memberi sebarang manfaat kepada umat Islam.

Dengan ini MAIWP ingin sekali lagi menegaskan bahawa:

a. Pembayaran kos guaman tersebut adalah menggunakan peruntukan geran tahunan kerajaan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam laporan pemerhatian Jabatan Audit Negara.

b. YB Menteri selaku pengerusi MAIWP yang merupakan responden dalam tindakan guaman berkenaan tidak terlibat dalam proses pembayaran kos guaman tersebut, bahkan pembayaran tersebut dilakukan berdasarkan Prosedur Kewangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. MAIWP juga telah menerima sijil bersih tanpa teguran terhadap penyata kewangan daripada Jabatan Audit Negara.

c. Jika sekalipun wang zakat digunakan untuk pembayaran kos guaman, ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Ini berdasarkan keputusan mesyuarat khas jawatankuasa perundingan hukum syarak wilayah persekutuan bil 2/2009 yang dipengerusikan oleh Shahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan pada 3 September 2009 yang memperakukan Anggaran Belanjawan MAIWP 2010 termasuk penggunaan wang zakat bagi maksud bayaran khidmat guaman.

Walau bagaimanapun, pengurusan MAIWP amat berhati-hati dalam penggunaan wang zakat sekalipun terdapat keputusan berkenaan.

d. Isu penggunaan wang zakat tersebut tidak dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2010 sepertimana yang dijelaskan melalui kenyataan media Jabatan Audit Negara yang disiarkan di halangan 3, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Januari 2012.

Ini menunjukkan bahawa laporan akhbar Harakah daripada Jun 2011 hingga Januari 2012 adalah amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat serta tidak beretika sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap MAIWP dan mencetuskan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti MAIWP.

Dengan ini, MAIWP mengharapkan agar penjelasan ini dapat meleraikan segala kekeliruan di kalangan masyarakat dan tidak terus dipolitikkan.

ADS