Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DPPM: Isu zakat - asnaf atau pinjam?
Diterbitkan:  Jan 13, 2012 9:21 AM
Dikemaskini: 9:11 AM

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali yang merujuk kepada kenyataan mufti Datuk Wan Zahidi Wan Teh bahawa penggunaan wang zakat untuk kes guaman dibolehkan demi mempertahankan kedaulatan Islam, sebagai "amat pelik dan mengelirukan".

"DPPM merasa kesal kerana Datuk Che Ali Che Mat begitu mudah menghalalkan penggunaan wang zakat oleh Datuk Seri Jamil Khir dan MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dengan alasan ‘mempertahankan kedaulatan Islam’," kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

DPPM, katanya, mempersoalkan bagaimana Datuk Che Ali Che Mat boleh mendefinasikan kes penggunaan wang zakat sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’.

"Ini kerana saman yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap individu terbabit kerana beliau mahu membawa kesnya di mahkamah syariah. Sebaliknya ia dinafikan dan akhirnya ia dibawa ke mahkamah sivil.

"Adakah usaha mempertahankan kes Datuk Seri Anwar daripada dibawa ke mahkamah syariah juga boleh dikategorikan sebagai ‘mempertahankan kedaulatan Islam’?

"Bukankah Datuk Seri Anwar yang sepatutnya dianggap ‘mempertahankan kedaulatan Islam’ kerana mahu membawa kesnya ke mahkamah syariah dengan mengikut undang-undang Islam, tetapi haknya dinafikan sehingga beliau diheret ke mahkamah sivil," tegas Riduan dalam satu kenyataan.

Selain itu, katanya, sekiranya benar wang zakat yang digunakan oleh Jamil Khir adalah ‘untuk mempertahankan kedaulatan Islam’, mengapa duit zakat itu dipulangkan balik.

"Mengapa ia tidak terus dianggap sebagai asnaf yang layak mendapat zakat? Pemulangan duit zakat itu menunjukkan seolah-olah MAIWP bersetuju bahawa duit zakat itu tidak patut digunakan untuk kos guaman maka ia perlu dipulangkan balik setelah mendapat peruntukan kerajaan.

"Adakah dengan kenyataan Datuk Che Ali menunjukkan MAIWP mengakui bahawa kos pendahuluan untuk kes guaman tersebut menggunakan duit zakat.

"Jika begitu, mengapa dari awal MAIWP dan Datuk Seri Jamil Khir menafikan penggunaan duit zakat sebaliknya menjelaskan ia diambil dari peruntukan kerajaan," tambahnya.

ADS