Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhasrat mengekal dan memulihara kawasan perniagaan Jalan Petaling untuk menjadikannya destinasi pelancongan yang lebih menarik di negara ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata Jalan Petaling, yang menempatkan kira-kira 300 gerai, menjadi tumpuan ramai berikutan keunikan dan tradisinya yang dipelopori masyarakat Tionghua sehingga dikenali sebagai 'Chinatown'.
"Sekiranya gerai sekitar Jalan Petaling ini didominasi peniaga dan pekerja asing, Jalan Petaling tidak lagi mempunyai keistimewaan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra ke kawasan itu semalam.
Justeru, beliau meminta peniaga di Jalan Petaling agar tidak mengambil pekerja asing demi memelihara nilai dan tradisi di kawasan itu.
Mengenai kebimbangan peniaga berhubung pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) di kawasan itu, Ahmad Fuad meminta mereka melihat projek tersebut dari sudut positif, termasuk keupayaannya menjana pulangan lumayan untuk mereka berikutan peningkatan pengunjung ke situ.
Projek itu, yang dilaksanakan MRT Corporation, meliputi kawasan Jalan Sultan di 'Chinatown' sebagai sebahagian daripada MRT Sungai Buloh-Kajang.
Sementara itu, dalam tinjauan mesra tahunan sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah Persekutuan, Ahmad Fuad mengambil kesempatan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.
Beliau berkata DBKL memasang 11,000 tanglung di sekitar Kuala Lumpur termasuk 460 di Jalan Petaling.
Selain itu, katanya, orang ramai boleh membeli bendera Wilayah Persekutuan di kaunter bayaran DBKL pada harga RM8.
- Bernama
