Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS S'gor: Hasan ego, degil, sombong
Diterbitkan:  Jan 17, 2012 5:47 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Tindakan Datuk Dr Hasan Ali yang merancang menjelajah ke seluruh negara bagi mendedahkan "parasit" parti kini menunjukkan belang sebenar bekas exco kerajaan Selangor itu, kata Pemuda PAS negeri.

Timbalan ketua dewan itu Mohd Sany Hamzan berkata, sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS, Hasan sepatutnya menerima keputusan dan mengikut prosedur dengan merayu atas pemecatannya.

"Tetapi beliau (Hasan) telah menunjukkan ‘belang' sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh ‘dikawal' oleh peraturan parti," katanya.

Katanya, sekiranya benar wujud parasit dalam PAS, Dr Hasan sewajarnya membuat laporan kepada presiden supaya tindakan dapat diambil dan bukan menjajanya di dada untuk meraih simpati.

Hasan semalam tetap enggan mendedahkan "parasit" dalam PAS yang didakwanya memesongkan parti itu daripada landasan perjuangan Islam.

Katanya, identiti kumpulan berkenaan hanya akan didedahkannya dalam program ceramahnya ke seluruh negara, bermula dua minggu depan.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sany berkata, tindakan Hasan itu hanya mengundang cemuhan dan menghilangkan hormat kerana rakyat didakwa sudah mengenali siapa Hasan sebenarnya.

"Dewan Pemuda PAS negeri Selangor tidak akan berdiam diri malah bersedia untuk ‘menjelajah' seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap PAS sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Sany berkata, pihaknya berharap Dr Hasan menyedari kesalahannya dan memohon maat atas "ketelanjuran dan keceluparan" beliau sebelum ini.

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional," katanya.

 

ADS