Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bagi menjaga kepentingan penduduk Kampung Baru di ibu negara, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) kawasan itu.

NONE Katanya, penambahbaikan itu antaranya dengan membuka keanggotaannya kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.

“Sekarang ini ia tidak berfungsi untuk kepentingan menyeluruh masyarakat dalam Kampung Baru. Dari segi tanggapan penduduk, mereka mahukan lebih daripada itu,” katanya.

Ketika ditanya pemberita, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada akan melakukan rombakan keahlian dalam lembaga itu.

“Saya tidak mahu buat spekulasi. Yang penting kita jumpa dulu penduduk Kampung Baru dan tanya apa yang mereka mahu,” katanya ketika ditanya tentang perkara itu.

NONE Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baharu Ahmad Zambri As'ad Khuzami sebelum ini dilaporkan mahu merombak MAS dengan menggunakan kuasa menteri besar Selangor.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 5 November bagaimanapun berkata menteri besar tidak punya kuasa itu kerana ia didakwa terletak bawah kerajaan Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media selepas berdialog dengan penduduk kampung itu, Khalid berkata penambahbaikan itu akan dilakukan kerana beliau diminta penduduk setempat -- yang bimbang hilang pemilikan tanah -- supaya beliau campur tangan.

Pelan pembangunan PKNS lagi 2 minggu

Khalid berkata akan memanggil lembaga itu bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Menteri besar juga berkata, walaupun Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang ditentang Pakatan Rakyat sudah diluluskan di parlimen, MAS yang ditubuhkan kerajaan Selangor sejak sebelum merdeka masih berkuatkuasa dan tidak terbatal.

NONE Selain menteri besar, MAS dianggotai 11 anggota, termasuk tujuh ketua-ketua kampung di kawasan itu dan empat anggota dilantik.

Dalam dialog sebelum itu, isu dibangkitkan antaranya melibatkan kerunsingan kehilangan pemilikan tanah yang diwarisi turun temurun dan idea pembangunan yang dilihat tidak jelas di mata penduduk.

Khalid juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru bagi memberikan nasihat berkaitan guaman dan pembahagian harga pusaka kepada penduduk, yang akan beroperasi dua minggu lagi di kawasan itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh mendapatkan nasihat peguam sendiri. Cuma bezanya kita beri percuma.

NONE “Tujuannya supaya masyarakat mendapat maklumat yang betul dan dapat membuat keputusan yang betul,” katanya sambil menegaskan Selangor mempunyai “kepentingan sejarah” terhadap kawasan itu.

Pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut hadir dalam sesi tersebut dan berjanji akan menyediakan pelan pembangunan baru dalam tempoh dua minggu daripada sekarang.

Pengurus pembangunan perniagaannya Fathul Rahman Abu juga berjanji, berdasarkan rekod pengalaman 48 tahun tanpa pernah gagal, beliau yakin satu-satunya kampung Melayu di Kuala Lumpur itu akan dibangunkan tanpa mengetepikan kepentingan penduduk.

ADS