Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim menjelaskan beliau tidak pernah berkata yang kita harus mengetepikan lagenda yang "tidak terbukti" seperti Hang Tuah atau Hang Li Po, tetapi sebaliknya mahu sejarah rasmi memberi tumpuan kepada tokoh-tokoh sejarah yang lebih relevan.

"Bukan saya kata kita tidak boleh terima legenda dan mitos. Jika masyarakat telah menerima satu mitos selama beberapa abad maka mitos itu telah jadi tradisi.

NONE "Kalau sudah jadi tradisi, biasanya kita tidak akan mempersoalkannya lagi. Tapi kita boleh persoalkannya," katanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini kelmarin.

Katanya, ahli sejarah perlu menyampaikan kebenaran dalam sesuatu peristiwa atau maklumat sejarah seperti dalam soal kewujudan Hang Tuah.

"Kalau nak masukkan dalam buku, kita boleh kata 'mengikut legenda, misalnya. Perkataan yang biasa digunakan, ialah pernah ada seorang laksamana bernama Hang Tuah. Bila kita akui itu sebagai legenda, tiada masalah."

Apa yang beliau tidak setuju, kata Prof Khoo, ialah apabila tokoh-tokoh legenda itu dimasukkan ke dalam buku teks sejarah tanpa sebarang penjelasan seperti itu.

Beliau menjelaskan bahawa kritikannya lebih menjurus kepada mereka yang telah mempopularkan nama tokoh-tokoh legenda seperti Hang Tuah dan Hang Jebat, sehingga menjejaskan tokoh-tokoh sejarah sebenar yang telah terbukti sumbangan mereka kepada Malaysia.

NONE Sebaliknya, tokoh yang benar-benar berwibawa dan yang telah memberi sumbangan perlu dipilih untuk diabadikan seperti pada nama-nama jalan di Kuala Lumpur.

"Kalau tanya siapakah orang Melayu pertama jadi doktor? Tak tahu. Doktor perempuan Melayu pertama, mereka tak tahu. Siapakah hakim Melayu pertama? Tak tahu juga," katanya.

Beliau meratapi hakikat bahawa nama Hang Tuah dan Hang Jebat diberi lebih keutamaan dalam penamaan jalan dan bangunan di Kuala Lumpur sedangkan kedua-duanya tidak ada sebarang kaitan dengan sejarah tempatan ibunegara itu.

Sedangkan, lebih penting lagi ialah pemimpin Mendailing yang mula-mula mengasaskan Kuala Lumpur, katanya lagi yang mempunyai bukti peta bertarikh 1872 yang menunjukkan asal usul Kuala Lumpur daripada Sungai Lumpur.

Nama pemimpin Mendaling, kata Prof Khoo, adalah antara "kandungan (sejarah) yang hilang", begitu juga dengan identiti Raja Chulan, yang didakwanya tidak ada orang Kuala Lumpur yang akan tahu walaupun tokoh itu penting dalam sejarah tempatan.

Ditanya sama ada beliau menyarankan lagenda-lagenda berkenaan digugurkan daripada sukatan pelajaran sekolah masa depan, Prof Khoo berkata, sama ada digugurkan atau tidak, ia bukan masalahnya.

"Bukan gugur yang penting, tapi apa yang tidak ada. Macam sekarang kalau saya tanya bilakah kereta motor datang ke negara ini, tidak tahu.

"Dalam buku sejarah di sekolah tidak disebutkan. Bilakah kuasa elektrik datang ke negara ini? Tiada dalam buku sejarah. Bilakah kapal api datang ke negara ini? Semuanyapun tak tahu," katanya dengan kecewa.

Katanya, adalah menyedihkan jika warga asing mahu tahu tentang sejarah Malaysia, kebanyakan rakyat Malaysia akan hanya mampu ketawa dan berkata 'saya pun tidak tahu'.

[Baca berita penuh]

ADS