Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dewan Muslimat PAS Selangor menyindir bekas exco hal ehwal Islam Selangor Datuk Dr Hasan Ali supaya 'bertempur' dengan Kelab Taat Suami (KTS), dalam usahanya mempertahankan akidah.

"Saya rasa (ia) medan Dr Hasan Ali sepatutnya bertempur dengan Kelab Taat Suami, bukannya dia hentam PAS sebab dari sudut ini, kita tengok dari segi penyelewangan akidah itu.

"(Beliau) nak memperjuangkan akidah," sindir ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan dalam sidang media di Shah Alam.

Wan Hasrina berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai pendirian PAS negeri berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap Kelab Taat Suami yang menganjurkan forum Rasullullah Tokoh Seks Suci Islam baru-baru ini.

Dilaporkan jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh di mana kelab tersebut menganjurkan forum kempen itu menyebabkan lima puluh hadirin dari KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd dilaporkan tergamam dengan serbuan 10 anggota penguatkuasa JAIPk.

Presiden KTS, Fauziah Ariffin, bagaimanapun dilapor menegaskan kempen itu tidak salah kerana menurutnya, setiap aspek kehidupan Nabi Muhammad SAW perlu dicontohi semua pasangan Islam.

Turut hadir dalam sidang media PAS Selangor hari ini ialah barisan kepimpinan PAS negeri antaranya pesuruhjaya Dr Abd Rani Osman, timbalannya Khalid Samad, setiausaha Mohd Khairuddin Othman, ketua penerangan Saari Sungib dan ketua pemuda Hasbullah Mohd Ridzwan.

Sebelum itu, pesuruhjaya PAS negeri Dr Abd Rani Osman berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kelab berkenaan menjadikan Rasulullah SAW sebagai tokoh seks.

"Adakah diletakkan imej Rasulullah SAW itu, imej yang bersih, diletakkan sebagai tokoh seks. Ianya mengarut," katanya yang juga ADUN Meru.

Beliau juga berharap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memainkan peranan menangani isu ini dengan, jika ianya berlangsung di negeri itu.

Sementara itu, Dr Abd Rani bersetuju dengan kenyataan setiausaha menteri besar Selangor Faekah Hussin yang mempertikaikan kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali berhubung perlantikan exco baru kerajaan negeri itu.

Dr Abd Rani berkata kenyataan Ibrahim itu seolah-olah mempertikaikan perkenan sultan berhubung rombakan portfolio exco kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, Dr Abd Rani enggan mengulas cadangan Faekah supaya Ibrahim dilarang memasuki negeri itu.

ADS