Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Shahrizat nafi rakus belanja pinjaman RM250 juta

Pengarah eksekutif syarikat National Feedlot Corporation, Wan Shahinur Izmir Salleh menafikan dakwaan bahawa beliau serta anggota keluarganya rakus membelanjakan pinjaman wang RM250 juta untuk projek lembu fidlot.

"Tidak munasabah kalau saya (guna wang) untuk berpoya-poya, anak-anak saya akan lingkup, (keluarga) saya akan hancur bila tidak boleh bayar pinjaman yang besar itu.

"(Ada yang dakwa) kami rakus dengan wang, beli kondo, beli (kereta) Ferrari, beli coli RM16K pun ada (yang kata).

"Orang cepat melatah dan kata benda-benda begini," katanya dalam satu taklimat kepada beberapa pemimpin NGO di Kampung Baru hari ini.

Ini merupakan kali pertama Shahinur Izmir tampil di khalayak umum untuk mempertahankan syarikat milik keluarganya yang kini dilanda kontroversi.

Anak kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu berkata, beliau tidak pernah membeli kenderaan Ferrari dan gaji beliau juga tidaklah mencapai angka RM40,000 seperti yang didakwa.

Beliau turut menjelaskan keputusan syarikat berkenaan untuk membeli hartanah, seperti dua unit kondominium One Menerung.

Tegasnya, hartanah berkenaan telah memberi pulangan dalam bentuk bayaran sewa.

Katanya, syarikat itu juga perlu membayar pinjaman berkenaan tahun ini, sedangkan projek National Feedlot Centre telah ditangguhkan.

"Jadi dengan duit pinjaman itu, kita kena putuskan sama ada hendak biarkan dalam bank atau dijadikan pelaburan.

"(Keputusan untuk membeli hartanah) merupakan keputusan yang baik pada masa itu," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan bahawa tuduhan demi tuduhan terhadap beliau dan anggota keluarganya itu sebagai dakwaan yang tidak jujur.

"Macam mana nak seleweng duit yang kita sendiri pinjam? Setiap sen pinjaman itu kena bayar balik," katanya lagi.

Beliau turut menerima beberapa soalan daripada wakil NGO yang hadir, termasuk daripada wakil pertubuhan Suara Inspirasi Malaysia, Suhaimi Adnan.

Suhaimi menimbulkan persoalan berhubung nasib penternak lembu di kawasan Air Kuning Selatan, Gemas yang kini menjadi tapak projek NFC.

Suhaimi berkata, tanah penternak berkenaan telah diambil tanpa sebarang pampasan manakal projek ladang satelit yang dijanjikan melalui NFC juga tidak berjalan.

Wan Shahinur Izmir dalam penjelasannya berkata, syarikat NFC tidak bertanggungjawab atas pengambilan tanah berkenaan, yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Beliau kemudiannya bergegas keluar meninggal majlis berkenaan tanpa menerima apa-apa soalan daripada wartawan.

Difahamkan, Wan Shahinur Izmir akan menyertai bapanya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang kini sedang mengerjakan umrah di Mekah.

VIDEO | 22.27 min

 

 

 

 

 

 

ADS