Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur, hari ini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Zohdi Toha.

Ini kerana hakim berkenaan memberi kebenaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi untuk mendengar permohonan mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes qazaf.

NONE Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman (kiri) berkata tidak dapat menerima keputusan kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri sebelum mengetepi rayuan tersebut.

Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, mengemaskan fail-fail mereka dan bertindak terus keluar daripada mahkamah bersama-sama Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyokongnya.

"Kami tidak boleh mengambil bahagian (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.

"Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman," kata Kamar Ainiah kepada pemberita di luar mahkamah.

Menurutnya lagi, permohonan kebenaran untuk mendengar permohonan untuk mengetepikan notis rayuan Anwar adalah dipohon sendiri oleh barisan peguam pemohon.

"Sepatutnya perkara itu diselesaikan (terlebih) dahulu, tetapi mahkamah memutuskan mohon kebenaran tidak relevan. Walhal, (ianya) permohonan mereka (untuk) mohon kebenaran," katanya sambil menambah tindakan mereka keluar sebagai tanda menghormati prosedur mahkamah.

Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok. Manakala pemohon diwakili tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

Notis hina mahkamah

Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan - Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun - memutuskan demikian selepas meneliti surat cara permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak selepas mahkamah ditangguhkan selama setengah jam.

Selepas mendengar keputusan tersebut, Kamar Ainiah bangun membantah keputusan itu dan menegaskan akan membuat semakan kehakiman. Kemudian mereka bertindak keluar mahkamah.

Sebelum peguam responden itu keluar mahkamah, Roslizam - ketua barisan peguam pemohon - lantas bangun dan mendakwa tindakan Kamar Ainiah itu dianggapnya menghina mahkamah kerana hakim membenar prosiding diteruskan.

Bahkan Roslizam meminta Kamar Ainiah menarik balik kenyataannya bahawa peguam pemohon "boleh mengambil duit zakat". Bagaimanapun Kamar Ainiah menarik balik kenyataan beliau itu.

Penarikan itu dibuat selepas hakim mahu merekodkan kenyataannya itu sebab ianya dibuatnya dalam mahkamah sambil desakan yang dibuat oleh Roslizam

Ditemui pemberita selepas prosiding, Roslizam berkata pihaknya akan memfailkan notis tunjuk mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal 1998 dengan sebab tindakan mereka itu didakwa "menghina mahkamah".

"Notis (yang menyatakan bahawa) kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," kata Roslizam.

Katanya, responden hari ini membangkitkan isu baru, sedangkan sewaktu peringkat mana-mana pengurusan kes, perkara tersebut tidak dibangkitkan pada waktu tersebut.

Anwar pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berikutan keputusan mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu.

ADS