Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru diingat tak terpengaruh dakyah jatuhkan k'jaan
Diterbitkan:  Feb 1, 2012 1:52 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Warga pendidik khususnya di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan diri mereka.

NONE Menteri Besar Perlis, Datuk Md Isa Sabu ketika memberikan ingatan itu berkata sebagai golongan profesional dan intelektual, para guru perlu sentiasa berada di hadapan dan peka dengan usaha-usaha kerajaan yang sangat menitikberatkan soal pendidikan.

"Saya tidak mahu golongan pendidik terpedaya dengan pihak yang mahu menggugat kekuatan kerajaan. Sama-samalah hindarkan diri daripada dakyah yang tidak membawa faedah dan merosakkan peribadi,” katanya ketika berucap pada majlis Perutusan Tahun 2012 Jabatan Pelajaran Perlis, di Kangar semalam.

Md Isa berkata para guru yang merupakan golongan berpengaruh juga mesti memahami semua dasar yang dilancarkan kerajaan terutama yang melibatkan sistem pelajaran negara.

"Kerajaan yang ada sekarang meletakkan kepentingan anak-anak lebih daripada yang lain-lain. Pemberian wang bantuan RM100 kepada semua pelajar baru-baru ini menunjukkan kerajaan bersikap adil," katanya.

Menteri Besar berkata warga pendidik juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan bermuhasabah diri serta tidak mudah berpuas hati dengan apa yang  dimiliki sekarang kerana tuntutan dan cabaran masa depan akan bertambah getir.

"Setiap guru perlu muhasabah diri dan menilai apakah tahap komitmen yang  telah diberikan dan sejauh mana iltizam dalam menjunjung imej dalam profesion ini.

"Adakah sumbangan para guru sudah mencukupi? Saya juga berharap para guru dapat memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab dalam usaha membangunkan pendidikan di Perlis," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS