Mahkamah Persekutuan tidak akan menjawab lima persoalan perlembagaan yang dibangkitkan mengenai status agama seorang penjaga kedai berusia 61 tahun dan anak-anaknya kerana terdapat fakta-fakta yang dipertikaikan.
Soalan-soalan itu perlu dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam, kata panel lima hakim yang diketuai oleh presiden Mahkamah Rayuan Presiden Tan Sri Md Raus Sharif, hari ini.
Dalam penghakiman di Putrajaya, hakim Md Raus berkata masih terdapat fakta kes yang dipertikaikan dan perkara itu perlu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.
"Kami akan biarkan Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung fakta-fakta berkenaan dahulu," kata beliau ketika menolak permohonan berkenaan.
Empat hakim lain yang bersidang bersama adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.
Penjaga kedai itu, Zaina Abdin B Hamid @ S Maniam atau Balachandran dan dua anak lelakinya, Surindran a/l Zaina Abdin dan Mohanasubash a/l Zaina Abdin serta anak perempuannya Chandrika a/p Zaina Abdin beragama Hindu dan mendakwa mereka bukan berfahaman Islam.
Walaupun mempunyai nama Islam, Zaina Abdin menegaskan dalam afidavit bahawa beliau tidak pernah mengamalkan Islam sejak dilahirkan. Katanya, beliau beragama Hindu dan berkahwin dengan seorang wanita Hindu dan mempunyai tiga orang anak.
Perkahwinannya telah didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada tahun 1986.
Ibu Zaina dicatatkan sebagai beragama Islam manakala bapanya dikatakan telah memeluk agama Islam.
Tetapi kedua-dua mereka, mengikut afidavit Zaina, mengamalkan cara hidup agama Hindu.
Zaina dan anak-anaknya diwakili peguam K Shanmuga dan Fahri Azzat.
