Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tiba di tanahair hari ini selepas melakukan lawatan kerja lima hari ke London bersama polis United Kingdom, sekaligus menamatkan khabar angin berhubung kematiannya.
Ismail, ketika ditemui kumpulan wartawan yang menanti kepulangan beliau di Lounge VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 8 pagi, kelihatan sihat dan ceria serta bersalaman dengan mereka yang hadir.
"Tidak ada apa-apa. Saya bersyukur dapat kembali ke tanahair," katanya yang tiba di tanahair dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan beberapa pegawai kanan polis Bukit Aman.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Isnin lepas menafikan khabar angin bahawa Ismail telah meninggal dunia di London.
Sebelum ini, khabar angin kononnya Ketua Polis Negara meninggal dunia ketika membuat lawatan kerja di London tersebar di laman sosial Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ismail berkata beliau berharap agar tiada lagi fitnah ditimbulkan terhadapnya kerana tindakan sedemikian tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
Mengenai lawatannya, beliau berkata pengalaman di London banyak memberi manfaat tentang hal kepolisan yang dapat dikongsi dengan pihak polis di negara ini.
Ismail berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan polis Kosmopolitan di London selain melawat beberapa tempat pameran polis, persiapan Sukan Olimpik, termasuk mengenali peralatan canggih yang digunakan polis pada masa kini di negara itu.
"Saya rasa ia satu peluang terbaik untuk kita menimba pengalaman di sana," katanya.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui berkata pihak polis mengenal pasti dua suspek dan keterangan mereka telah diambil bagi membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu kematian Ketua Polis Negara itu.
Beliau berkata kedua-dua suspek itu, dari Pulau Pinang dan Ipoh, Perak, tidak ditahan dan hanya keterangan diambil.
"Saya tidak dapat dedah lagi secara terperinci kerana polis masih lagi mengesan asal-usul SMS maklumat itu," katanya.
Di KUALA LUMPUR, Khalid ketika ditemui di majlis Anugerah Pemandu Berhemah Ops Sikap ke-25 di Restoran Jejantas Sungai Buloh, berkata telefon bimbit kedua-dua suspek yang berumur 20-an itu dirampas semalam.
Katanya kedua-dua suspek itu tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata polis akan menyiasat kes ini daripada semua aspek termasuk juga "bergurau".
"Kita nak jenaka tapi tak tahu tempat. Ada (perkara) boleh buat lawak, tapi ada tak boleh. Jangan guna medan sosial untuk membuat lawak (seumpamanya)," katanya.
Khalid menegaskan PDRM boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat fitnah, mengugut serta menggunakan laman-laman portal berita sebagai medan mencaci individu lain.
"Pihak polis memandang berat penyalahgunaan sosial media... jadi saya ingin menasihatkan teknologi perhubungan yang canggih amat diperlukan kita semua. Oleh itu, jangan disalahgunakan," katanya.
- Bernama
