Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Madrasah Salihiah: JK bertindak buat laporan polis
Diterbitkan:  Feb 2, 2012 3:08 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Jawatankuasa Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) membuat laporan polis terhadap Penolong Pentadbir Tanah (Pembangunan) Kota Setar, Syed Shafulamin Syed Ahmad, kerana telah mengeluarkan notis supaya mengosongkan bangunan Madrasah Salihiah di Alor Setar sebelum isu mengenai diputuskan oleh mahkamah.

    

Pengerusi BBSMS Mansor Ahmad berkata laporan itu dibuat kerana perbuatan pejabat tanah mengeluarkan notis supaya bangunan madrasah itu dikosongkan adalah tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang.

    

"Kita telah mengemukakan writ saman injunksi dan saman interim pada bulan lepas bagi menghalang perobohan dan pengambilalihan tanah wakaf khas Madrasah Salihian oleh pentabdir tanah Kota Setar, dan pada minggu depan (6 Februari), kedua-dua saman ini akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar.

    

"Jadi, notis pengosongan yang kami terima pada 18 dan 31 Januari lepas yang telah ditandatangani oleh Syed Shafulamin jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.

    

Mansor berkata tindakan wakil pejabat tanah dan kerajaan negeri yang mendahului keputusan mahkamah bersifat prejudis dan merendahkan wibawa dan integriti Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar.

"Ia juga bercanggah dengan undang-undang kerana pejabat tanah serta kerajaan negeri sama ada secara rasmi atau tidak mengetahui bahawa isu madrasah ini telah difailkan untuk perbicaraan di mahkamah," katanya.

    

Mansor berkata sepatutnya pihak pentadbir tanah atau kerajaan negeri menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu dan membuka ruang bagi proses perbicaraan dijalankan dengan sempurna agar keputusan muktamad berhubung isu itu dapat diperoleh.

    

"Tidak perlulah terburu-buru kerana kita mempunyai undang-undang. Sepatutnya mereka (pejabat  tanah dan kerajaan negeri) bersabar dan menunggu tarikh 6 Februari ini bagi membolehkan mahkamah mendengar dan membuat keputusan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS