Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AirAsia terima 275 pesawat dalam tempoh 14 tahun
Diterbitkan:  Feb 2, 2012 5:48 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

AirAsia Bhd akan menerima serahan 275 pesawat Airbus A320 bernilai US$25 bilion, bagi tempoh 14 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan jumlah pesawatnya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes.

    

Beliau berkata 200 pesawat terdiri daripada model A320neo manakala model A320 menyumbang bagi baki 75 pesawat dan ia akan melengkapkan armada 100 pesawat sedia ada AirAsia.

    

"200 pesawat model A320neo itu mempunyai harga pasaran sehingga US$18 bilion manakala 75 model A320 akan mempunyai harga pasaran US$7 bilion," kata Fernandes kepada pemberita selepas menerima serahan pesawat Airbus A320 ke-100 AirAsia di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), di Sepang hari ini.

    

Serahan terbaharu itu akan menjadikan syarikat penerbangan bajet tersebut sebagai pengendali pesawat Airbus A320 terbesar di Asia Tenggara.

    

Ketika ini AirAsia mempunyai 58 pesawat Airbus A320 berpangkalan di Malaysia, 22 pesawat berpangkalan di Thailand, 18 pesawat berpangkalan di Indonesia dan dua pesawat berpangkalan di Filipina.

    

Fernandes berkata pertambahan bilangan pesawat AirAsia dan AirAsia X akan meningkatkan kekerapan penerbangan mereka ke destinasi utama dan memperkenalkan laluan baru.

    

"Kami akan terbang ke Lombok, Indonesia, dan menumpu menambah laluan baru di China. Setakat ini kami telah mengenal pasti tiga destinasi, iaitu Xiamen dan dua laluan lain.

    

"Menjadi hasrat saya untuk menerbangkan AirAsia ke Sao Paulo, Brazil. Saya menerima banyak pertanyaan untuk terbang ke sana daripada orang Brazil tetapi saya rasa kami perlu menunggu kerana ia akan mengambil sedikit masa (untuk menjadi kenyataan).

    

"AirAsia X perlu menunggu masa yang sesuai bagi jenis pesawat yang sesuai. Itu adalah alasan utama mengapa kami menggantung laluan kami ke London dan Paris," katanya.

    

Mengenai jumlah penumpang, Fernandes berkata beliau yakin dengan prestasi AirAsia dan berharap syarikat penerbangan bajet itu akan terus mencatatkan pertumbuhan dalam bilangan penumpang sejajar dengan kebanyakan pengendali syarikat penerbangan bajet lain seluruh dunia.

    

"Agak sukar untuk dinyatakan. Suku pertama sentiasa menjadi suku yang perlahan bagi kami. Tetapi saya positif," katanya.

    

Pada 2011, seramai 29.860 juta penumpang menggunakan perkhidmatan AirAsia, naik daripada 25.681 juta penumpang yang dicatatkan syarikat penerbangan itu pada 2010.

    

Kapasiti meningkat 13.5 peratus kepada 37.506 juta dan faktor muatan naik dua peratus kepada 80 peratus.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS