Firma perlombongan Australia, Lynas Corporation menyatakan sebarang dakwaan oleh syarikat multinasional Belanda, AkzoNobel, bahawa ia menarik balik bekalan resin bagi kilang penapisan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, atas alasan kejuruteraan yang tidak menepati piawaian adalah tidak betul.
Jurucakap Lynas Corp menjelaskan dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini, bahawa langkah menggantikan AkzoNobel, kontraktor bagi projek kilang Lynas di Gebeng dengan Trepax Thailand, adalah semata-mata keputusan perniagaan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas artikel di New York Times semalam bahawa AkzoNobel menarik diri daripada projek itu pada suku ketiga tahun lepas selepas ia diberi tahu bahawa lapik kaca gentian menggunakan resinnya akan dipasang di tangki berdinding konkrit yang tidak memenuhi standard keselamatan.
Jurucakap itu berkata AkzoNobel ialah syarikat kimia yang mengeluarkan resin dan "ia tidak memasang lapik atau atau memperakukan kerja itu."
Lynas Corp membuat keputusan perniagaan untuk menukar perkhidmatan kontrak
bagi penyumberan, pemasangan dan persijilan resin bersepadu tangki konkrit itu kepada Trepax Thailand tahun lepas, katanya.
Trepax memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam industri petrokimia di seluruh Asia.
Kontraktor baru itu menggunakan resin vinylester untuk memenuhi standard industri antarabangsa "Derakane 411" daripada peneraju dunia dalam resin
vinylester, Dow Chemicals.
Justeru itu, "sebarang dakwaan yang AkzoNobel menarik balik bekalan resin mereka atas alasan kejuruteraan tidak menepati piawaian adalah tidak betul," katanya.
- Bernama
