Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Lamp boleh beroperasi sebaik saja syarat dipatuhi'

Kilang memproses nadir bumi, Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan boleh beroperasi sebaik sahaja ia membayar kerajaan Malaysia bayaran ansuran pertama berjumlah US$10 juta daripada US$50 juta yang disyaratkan, kata Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Datuk Raja Abdul Aziz Abdul Adnan.

NONE Katanya, AELB juga akan memastikan beberapa peraturan kawal selia yang disyaratkan  dikuatkuasakan di kilang bernilai RM700 juta itu sebelum ia boleh beroperasi.

"Pengeluaran lesen (sementara) tidak bermakna operasi sementara boleh mula... Semua ini  bergantung kepada berapa cepat mereka kuatkuasakan peraturan kawal selia yang ditetapkan dan Lynas mesti memenuhi syarat itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat AELB di Dengkil.

Apabila syarat-syarat berkenaan dipatuhi, Raja Abdul Aziz berkata, Lynas akan diberikan permit untuk mengimport galian bumi nadir untuk memulakan kerja-kerja pemprosesan.

Jelasnya, jaminan kewangan US$50 juta yang akan dibayar dalam lima ansuran oleh Lynas itu akan digunakan bagi menghadapi "situasi yang tidak dijangkakan".

"Sebagai contoh, jika Lynas menghentikan operasi dalam tempoh dua tahun, wang berkenaan akan digunakan untuk membersihkan sisa-sisa nadir bumi yang tertinggal."

Isnin lalu, AELB meluluskan lesen kendalian sementara (TOL) untuk projek kontroversi kelulusan itu tetapi mensyaratkan lima perkara lain yang mesti dipatuhi oleh Lynas.

  • pihak Lynas perlu kemukakan semua aspek berkenaan Permanent Disposal Facility (PDF);
  • NONE pelan dan lokasi PDF perlu dikemukakan tanpa mengambil kira  hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengkomersilan, pengkitaran dan penggunaan semula bahan residu.
  • pelan dan lokasi PDF perlu dikemuka dan diluluskan dalam tempoh masa lesen dan tidak melebihi 10 bulan daripada tarikh pengeluaran lesen TOL.
  • Lynas perlu mematuhi syarat jaminan kewangan dan membayar Kerajaan Malaysia sebanyak USD50 juta secara ansuran.
  • Lembaga berhak melantik perunding bebas untuk menilai kepatuhan Lynas terhadap standard dan peraturan yang ditetapkan dan kosnya ditanggung oleh pemegang lesen.

Abdul Aziz juga berkata kelulusan pemberian lesen kendalian sementara (TOL)  juga tidak bermakna AELB akan mengeluarkan lesen tetap operasi secara automatik kepada Lynas.

Sebaliknya syarikat itu perlu mengemukakan permohonan baru yang perlu disertakan segala maklumat dan data berkaitan yang dikehendaki oleh AELB bagi membolehkan ia diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

"Ia adalah satu proses yang sangat rumit...tapi kami di sini untuk menjamin keselamatan awam dan alam sekitar. Kami perlu mengadakan sistem pengawasan sebelum ia boleh dimulakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS