Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Siapa boleh kata Nik Aziz jangan bertanding?
Diterbitkan:  Feb 5, 2012 10:23 AM
Dikemaskini: 4:58 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin memperlekehkan kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berkata beliau pernah menyatakan hasrat untuk berundur daripada politik tetapi ditolak oleh PAS Kelantan.

muhyiddin yasin Sebaliknya dakwa timbalan perdana menteri, tidak ada sesiapun dalam PAS yang boleh menghalang Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am parti itu daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Siapa boleh kata Nik Aziz jangan bertanding?" katanya dipetik Bernama pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) serta pengelola sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh Selangor di Shah Alam, semalam.

Jumaat lalu, Nik Abdul Aziz berkata beliau hendak menyatakan hasratnya untuk tidak bertanding, tetapi disergah oleh PAS Kelantan. Atas sebab itu, beliau terus berkecimpung dalam politik hingga hari ini.

Sambil menyindir Musyidul Am PAS itu adalah orang yang paling diperlukan dalam PAS, Muhyiddin berkata Nik Abdul Aziz juga bertanggungjawab menentukan segala-galanya dalam parti.

"Nik Aziz amat diperlukan. Nik Aziz kalau ganti orang lain dia kata dah tak jadi PAS, itu keputusan dia lagipun dia Mursyidul Am jadi segala-galanya dia tentukan,” katanya dipetik Bernama .

Keputusan Nik Aziz untuk bertanding lagi juga diulas dalam ruangan pojok Mingguan Malaysia oleh Awang Selamat.

Masalah pendengaran

“Nampaknya tempoh 45 tahun belum cukup.

Jika tidak silap, Nik Aziz, 81, adalah wakil rakyat paling lama dalam sejarah tanah air. Beliau mula menjadi calon pilihan raya pada tahun 1967.

“Jawatan Menteri Besar pula sudah empat penggal iaitu melebihi 21 tahun. Pun tidak cukup lagi,” tulis Awang dalam ruangan ‘Bisik-bisik Mingguan ’ hari ini.

Menurut Awang lagi, tidak sangka dalam keadaan yang agak uzur, Nik Aziz masih mahukan jawatan tersebut.

NONE Beliau juga menyindir Mursyidul Am itu yang dikatakan hendak menyampaikan taklimat kepada beliau juga sukar atas masalah pendengaran dan fikirannya yang tidak lagi tajam.

“Kenyataannya juga selalu mencelarukan, yang tidak mencerminkan beliau seorang Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS.

“Itu belum menyentuh soal prestasi pentadbiran beliau yang dianggap lemah. Misalnya, isu air bersih, yang merupakan keperluan asas untuk rakyat Kelantan sehingga hari ini belum dapat diselesaikan.

“Tetapi Nik Aziz ada kuasa untuk mewajarkan kedudukannya sampai bila-bila yang beliau mahukan,” tulisnya lagi.

Akhbar milik Umno itu mengakhiri ruangan berkenaan dengan Awang mendakwa beliau sesungguhnya kasihankan Nik Aziz.

“Beliau sudah hilang keyakinan untuk mencermin diri dan memahami realiti. Apa pun, kuasa sememangnya mudah melekakan manusia. Kalau Tok Guru sudah sedap - peduli apa - teruskan sahaja.”

ADS