Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yayasan Taqwa nafi dakwaan tiris RM800,000
Diterbitkan:  Feb 9, 2012 7:49 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berhubung ketirisan sebanyak RM800,000 dalam kewangan syarikat bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu.

Pengurus besar yayasan itu, Ahmad Ayob Ibrahim berkata wang berkenaan tidak dinyatakan dalam laporan tahunan 2010 kerana dibawa ke tahun 2011.

"Butiran perinciannya seperti dalam akaun penutup Yayasan Taqwa 2010 dan 2011, tiada istilah ketirisan dalam hal pengurusan wang zakat tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjawab pertikaian yang timbul berhubung perbelanjaan sebanyak RM2 juta untuk yayasan berkenaan, Ahmad Ayob berkata jumlah itu juga bukanlah untuk perbelanjaan pentadbiran semata-mata.

Berikut adalah kenyataan penuh Pengurus Besar Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (MAIWP):

Yayasan Taqwa (MAIWP) ingin merujuk kepada dakwaan En Mohd Nasaie Ismail dan Sdr Kamaruzaman Mohamad dari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa Yayasan Taqwa telah menggunakan dananya untuk program politik YB Senator Mej Jen Dato' Seri Jamil Khir Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti yang dibangkitkan dalam keluaran Harakah Edisi Isnin 6-9 Februari dan di malaysiakini.com tempohari.

Antara tohmahan jahat dalam media tersebut yang dibuat oleh En Mohd Nasaie ialah isu pemberian bantuan bumbung, rumah terbuka hari raya dan bantuan kepada anak muda, yang mana sebelum ini dalam sidang medianya pada 2 Feb 2012 beliau juga telah memfitnah bahawa YB Dato' Seri Jamil Khir telah membiayai bantuan mesin rumput, pam racun dan berbagai-bagai bantuan kepada penduduk Jerai menggunakan sumber Yayasan Taqwa.

Sehubungan dengan itu, Yayasan Taqwa menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan seperti di atas berdasarkan kepada penjelasan seperti berikut:

1. Yayasan Taqwa tidak terbabit dalam pemberian atau bantuan bumbung, rumah terbuka hari raya, bantuan kepada anak muda, membiayai bantuan mesin rumput, dan pam racun kepada penduduk Jerai menggunakan sumbernya seperti yang didakwa adalah tidak benar sama sekali.

2. Semua butiran dan jumlah perbelanjaan serta sumbangan yang dibangkitkan oleh pihak berkenaan adalah dari sumber Laporan Tahunan MAIWP 2010 yang telah diaudit dan disahkan. Laporan audit ini telah dibuat mengikut garis panduan, peraturan, dan undang-undang negara sediada. Yayasan Taqwa telah diaudit oleh juruaudit luar, juruaudit MAIWP dan Jabatan Audit Negara serta mendapat pengiktirafan audit bersih sejak tahun 2007 hingga kini.

3. Mengenai isu RM2 juta sebagai perbelanjaan pentadbiran yang berlebihan yang dibangkitkan sebenarnya adalah meliputi semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program/aktiviti Yayasan Taqwa bagi tempoh setahun meliputi seramai 24 orang pegawai, kakitangan pejabat, para mubaligh, guru, pensyarah, sukarelawan termasuk bayaran sewa pejabat, utiliti, petrol, gaji, elaun, tuntutan, penyelenggaraan, bil perubatan, takaful, KWSP, PERKESO, dsb samada di peringkat nasional atau antarabangsa, bukan sekadar belanja pentadbiran seperti yang didakwa. Semua ditil belanja tersebut telah diperaku dan disahkan mengikut skim, peraturan, lunas undang-undang, yayasan, MAIWP dan Negara serta diperakui berbelanja secara berhemah oleh semakan audit.

4. Berkaitan isu RM800 ribu yang didakwa oleh pihak berkenaan tidak dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2010 itu sebenarnya dibawa ke tahun berikutnya (2011) ditil perinciannya seperti dalam akaun penutup Yayasan Taqwa 2010 dan 2011, tiada istilah ketirisan dalam hal pengurusan wang zakat tersebut.

5. Sekali lagi ingin dinyatakan di sini, bahawa Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa telah memberi fokus dasar Yayasan Taqwa adalah untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka yang layak samada organisasi, institusi dan juga individu samada di dalam negara (kecuali Wilayah Persekutuan; sumbangan untuk aktiviti kebajikan/kecemasan) mahupun di luar Negara yang menepati kehendak syarat serta prosidur, tanpa mengira warna kulit, bangsa, fahaman dan batas politik.

Sepanjang menjalankan tanggungjawab, selain dalam Negara, Yayasan Taqwa juga terlibat dalam membantu masyarakat Islam secara 'outreach' yang memerlukan termasuk di Kemboja, Vietnam, Selatan Thai, Indonesia, Mesir, Palestin, Pakistan, Lebanon, dan sebagainya. Ini juga mengambil kira dan selaras dengan pandangan As-Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi dalam hal pemberian sumbangan zakat seperti ini. Program dan aktiviti Yayasan Taqwa meliputi aspek pendidikan, dakwah dan kebajikan termasuk kecemasan dan sebagai sebuah yayasan yang mana fungsinya hampir sama dengan pertubuhan NGO yang lain.

Sejak penubuhannya lagi yayasan senantiasa memainkan peranannya dalam membantu masyarakat/ummah secara menyeluruh dan mengagihkan sumber-sumbernya secara

berhemah. Oleh yang demikian, tiada isu yang timbul mengenai wang zakat dari Wilayah Persekutuan tidak boleh diagihkan di luar Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama peranan Yayasan Taqwa juga seiring dalam merealisasikan hasrat untuk menyantuni dana zakat bagi pembangunan ummah sejagat selari dengan peranan pihak International Zakat Organization (IZO). Ini merupakan inisiatif besar dalam melaksanakan agihan dan sumbangannya samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa. Ini juga bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih prihatin lagi penyayang kepada mereka yang memerlukan di luar sana mengikut kemampuan kita.

Yayasan Taqwa amat berharap agar pihak yang suka membuat tohmahan/dakwaan yang tidak berasas ini membuat satu kaji selidik yang lebih mendalam dan mendapatkan sumber-sumber maklumat yang sah sebelum membuat apa-apa kenyataan umum. Ini kerana agama Islam sendiri menuntut supaya seorang mukmin itu menyiasat terlebih dahulu setiap perkhabaran yang diterima agar mereka tidak membuat kesilapan dan fitnah yang akan mendatangkan malapetaka kepada ummah.

Yayasan Taqwa juga mengalu-alukan sebarang pertanyaan dan memperlawa mana-mana pihak yang memerlukan penjelasan lanjut bagi program dan aktivitinya.

Akhirnya pihaknya Yayasan Taqwa ingin meminta En Mohd Nasaie, Sdr Kamaruzaman, Harakah serta mediumnya agar menghentikan segera tohmahan ini selain meminta maaf secara terbuka kepada YB Dato' Seri Jamil Khir, Yayasan Taqwa dan masyarakat Islam seluruhnya dalam masa terdekat ini atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.

 

ADS