Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tidak cadang ektradisi Hilmi
Diterbitkan:  Feb 10, 2012 3:56 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bercadang mengektradisi rakyat Malaysia bernama Hilmi Hazimin Malek, 37, yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan penyebaran gambar separuh bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong.

    

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata Hilmi Hazimin mungkin perlu menjalani pendakwaan berhubung kesalahan imigresen di Indonesia terlebih dahulu.

    

helmi malek hilmi malek "Kita belum dapat laporan penuh daripada polis Indonesia tetapi kemungkinan Hilmi akan didakwa dan dihukum di sana. Selepas selesai perkara itu baru polis di sini akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul di Bukit Aman hari ini.

    

Sebuah portal Indonesia melaporkan Sabtu lepas bahawa seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai 'Azmin Helmi', yang kemudian disahkan sebagai Hilmi Hazimin, ditahan oleh Imigresen Indonesia di Pulau Batam kerana memiliki dokumen palsu.

    

Dia dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dikatakan mempunyai kad pengenalan dan kad keluarga Indonesia palsu.

    

Mengenai satu perkara lain, Khalid menafikan penglibatan dua anggota polis berhubung kes penyelewengan kuasa pengeluaran tender projek baik pulih muzium Polis Diraja Malaysia.

    

Beliau berkata polis ada menerima laporan bahawa penyelewengan tersebut dilakukan oleh pihak luar.

    

"Kita ada terima laporan tahun lepas dari seorang mangsa yang dijanjikan akan memperolehi tender," katanya.

    

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dalang sebenar kes itu.

    

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa seorang pegawai polis berpangkat Penguasa dan seorang anggota PDRM yang bertugas di muzium berkenaan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan tersebut.

    

Sebelum ini akhbar tersebut melaporkan mengenai sindiket penipuan yang kononnya menawarkan projek bernilai jutaan ringgit membabitkan pemberian tender baik pulih Muzium PDRM.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS