Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap isu lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang digantung pengajian mereka berada pada tahap akhir dan meminta pihak yang bertelagah menyelesaikannya secara damai.

NONE "Saya telah berjumpa dengan Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) dan peguam pelajar Hanipa Maidin (yang juga ahli majlis pusat PAS), saya minta semua pihak menyelesaikan secara damai.

"Saya telah berjumpa, dan semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini, secara damai... Penyelesaian sudah sampai ke peringkat penghujung,"kata Abdul Hadi selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Presiden PAS itu berkata beliau bertemu dengan Azizan Sabtu lalu. Bagaimanapun Azizan tidak hadir pada mesyuarat hari ini.

Bercakap pada sidang media di Taman Melewar, Abdul Hadi berkata menteri besar, kolej dan pelajar yang terbabit juga akan membuat pengumuman berhubung isu tersebut.

"Keputusannya positif," kata Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang.

Kelima-lima pelajar KUIN itu digantung pengajian kerana didakwa terlibat dengan demonstrasi membantah kewujudan Sekolah Insan Bestari di kawasan kolej Kediaman Ar-Razi April tahun lalu.

Berikutan itu beberapa pertubuhan pelajar termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), NGO, ahli akademik dan juga beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang jelas tidak senang dengan tindakan Azizan menuntut supaya penggantungan yang menggunakan AUKU atau akta yang mirip dengannya ditarik balik.

NONE Menurut mereka, tindakan Azizan yang juga pengerusi KUIN jelas bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu untuk menghapuskan AUKU jika mereka berkuasa kelak.

Menjawab soalan wartawan, Abdul Hadi berkata kes KUIN itu akan selesai "dalam tempoh terdekat".

Sebelum ini, beberapa pertubuhan pelajar memberi amaran akan mengadakan protes di hadapan Wisma Darul Aman pada 19 Februari ini jika keputusan tidak memihak kepada mereka.

Ditanya bila pengumuman berhubung penyelesaian itu akan dibuat, Abdul Hadi berkata terpulang kepada menteri besar, KUIN dan pelajar berkenaan.

Diminta mengesahkan bahawa isu ini tidak akan berlarutan sehingga ke prosiding mahkamah memandangkan pelajar berkenaan memfail tuntutan mencabar penggantungan mereka, Abdul Hadi  berkata:

penang kedah timber logging azizan abdul razak 310708 03 "Insya-Allah kita akan usahakan begitu".

Lima pelajar yang digantung pengajian itu adalah Muhamad Aiman Ab Razab, Zuki Latif, Ahmad Remy Mohd Arof dan Mohd Azlan Mat Zin, dan Mohd Faiz Mohd Arsyad.

Mohd Faiz digantung pengajian selama dua semester yang berakhir April ini, manakala tempoh penggantungan empat lagi rakannya telahpun berakhir dan telah mengikuti semula pengajian mereka di KUIN.

Empat mahasiswa tersebut adalah  masing-masing digantung satu semester dan hukuman mereka telahpun berakhir.

ADS