Penyelesaian luar mahkamah antara beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli adalah bukti bahawa kerajaan persekutuan menguruskan ekonomi secara tidak cekap, kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pua berkata kesediaan kerajaan untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah menunjukkan bahawa ketirisan dan rasuah besar-besaran akan terus berleluasa kerana kronisme dan kekurangan akauntabiliti.
"Jika negara kerugian berbilion-bilion ringgit dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang sehingga menyaksikan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy didakwa atas tuduhan menipu kabinet, pasti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin juga mesti disiasat kerana membekalkan penjamin yang tidak sah dan sehingga kerajaan terpaksa menangung kerugian kroni mereka," katanya,
Pua, yang juga ahli parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, telah berulang kali memberi amaran bahawa negara akan bankrap dalam tempoh tujuh tahun, jika kewangan negara gagal diuruskan dengan teliti.
"Persoalannya jika BN terus dibenarkan memerintah selama dua lagi pilihan raya akan datang, maka amaran Idris itu mungkin menjadi kenyataan," katanya dalam satu kenyataan.
Idris pada tahun 2010 memberi amaran bahawa Malaysia akan menjadi seperti Greece, menjelang 2019 jika rakyat berkeras mahu terus menikmati subsidi dan tidak mahu membayar harga sebenar petrol, elektrik, makanan dan barangan keperluan lain.
Semalam, Tajudin dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan satu saman yang difailkan enam tahun lalu membabitkan hutang RM589 juta tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.
Terma penyelesaian itu bagaimanapun tidak didedahkan meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2009 mengarahkan Tajudin untuk membayar RM589 juta kepada Pengurusan Danaharta Bhd dan dua anak syarikat yang menguruskan hutang.
