Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: BR1M wang rakyat, bukan 'rasuah'
Diterbitkan:  Feb 16, 2012 3:59 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bantuan Rakyat Malaysia (BR1M) bukan "rasuah" sebaliknya adalah wang rakyat yang diberikan semula kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata bantuan berkenaan diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik.

    

"Itu duit rakyat, dan tidak salah beri balik, orang PAS (pun) naik pentas ambil bantuan itu," katanya ketika berucap di majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Pusat Rekreasi Air Balok, Beserah yang dihadiri lebih 20,000 orang di Kuantan, hari ini.

    

Muhyiddin berkata kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin akan bebanan yang ditanggung rakyat ketika ini.

"BN tawar apa yang  mampu sahaja, dan tidak buat pinjaman untuk beri bantuan termasuk BR1M, kita guna simpanan sendiri," kata Muhyiddin.

    

Muhyiddin berkata kerajaan juga membelanjakan sejumlah RM33 bilion setahun untuk subsidi kepada rakyat.

    

"RM10 hingga RM12 bilion untuk bahan api, ramai yang tidak sedar, kita juga subsidi harga gula dan harga gula lebih rendah (berbanding) di Thailand, (sedangkan Thailand) merupakan negara pengeluar keenam gula di dunia," katanya.

    

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan telah melakukan pelbagai program dan bantuan semata-mata untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi.

    

"Isu yang dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya ialah kenaikan kos hidup, sebenarnya kerajaan telah bantu tingkatkan pendapatan rakyat termasuk beri bantuan kepada petani, usahawan dan sebagainya.

    

"Pelbagai inisiatif yang diambil adalah bagi pastikan rakyat mendapat pendapatan yang tinggi, produktiviti negara meningkat, kawal inflasi dan kurang perbelanjaan kerajaan," katanya.

    

Beliau berkata kerajaan juga telah memperkenalkan kawalan harga untuk memastikan harga barang tidak terus membebankan rakyat.

    

"Jika kerajaan BN tidak masuk campur, harga barang ini adalah tinggi, kos hidup akan lebih tinggi," katanya.

    

Muhyiddin berkata bagi mencapai sebuah negara maju, kerajaan juga mensasarkan pendapatan per kapita adalah sebanyak US$15,000 menjelang tahun 2020 berbanding ketika ini iaitu US$9,500.

    

"Kita perlu kekalkan pertumbuhan ekonomi pada kadar lima peratus setahun, kerajaan BN mempunyai wawasan dan berpandangan jauh, kita bukan hendak selesaikan masalah hari ini sahaja tapi generasi akan datang," katanya.

    

Beliau berkata rakyat perlu menyokong usaha transformasi yang dilakukan kerajaan dan mereka (rakyat) perlu sedar bahawa tanpa perancangan dan transformasi yang utuh, negara maju dan kaya seperti negara tertentu di Eropah juga boleh jatuh miskin.

    

Di majlis berkenaan, Muhyiddin turut mengumumkan beberapa peruntukan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan berjumlah RM19.8 juta, antaranya membina masjid Chengal Lempong, Beserah bernilai RM4 juta, membina dewan serbaguna Kampung Peramu, Kuantan (RM1juta), menaiktaraf sistem perparitan di kampung nelayan Beserah (RM3.5 juta), dan pembinaan semula gerai dan pasar ikan di Beserah (RM6 juta).

- Bernama

ADS