Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas imam kesal dakwaan penyelewengan tak dapat perhatian

Hoslan Hussin, 46, yang mencetus kontroversi ekoran tindakannya membaling kasut ke arah hakim Mahkamah Persekutuan Rabu lalu kesal kerana penyelewengan yang didakwa berlaku di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan tidak mendapat perhatian.

NONE Hoslan mendakwa, tindakannya  yang sering menimbulkan dakwaan penyelewengan itulah yang menyebabkan dia dipecat daripada jawatannya sebagai imam rawatib dan seterusnya diusir keluar daripada kuarters masjid tersebut.

Beliau mendakwa, dakwaan penyelewengan berjumlah "ratusan ribu" itu antara lainnya melibatkan bayaran sewa tanah masjid, kutipan daripada tabung masjid dan juga sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau mendakwa, penyelewengan itu berlaku sejak tahun 1990-an lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, beliau mendakwa mula menghidu perkara itu apabila dilantik sebagai imam rawatib di masjid tersebut sejak tahun 2005.

Difahamkan pada tahun itu juga, sebuah jawatankuasa bertindak yang dianggotai empat ahli jawatankuasa yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dibentuk dan menghantar laporan kepada MAIWP pada Februari 2006, yang kemudiannya menjalankan audit dalaman pada bulan berikutnya.

MAIWP selaku pemegang amanah masjid tersebut kemudiannya dikatakan telah mengadakan mesyuarat dengan memanggil semua ahli jawatankuasa Masjid Ar-Rahimah pada Mei 2006, mengikut peruntukan Seksyen 72, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

"Mesyuarat itu sahkan banyak duit hilang," dakwa Hoslan lagi yang merujuk kepada mesyuarat hasil daripada audit dalaman untuk tahun 2003 hingga 2005 – dijalankan jabatan tersebut pada Mac.

Mesyuarat berkenaan dikatakan antara lainnya mendapati perbezaan di antara penyata kewangan, penyata kutipan dan penyata bank masjid tersebut, menurut minit mesyuarat itu yang dilihat Malaysiakini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali itu juga dikatakan mendapati jawatankuasa itu tidak mengetahui mengenai sumbangan jabatannya sebanyak RM2,000 setiap tahun.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat pada Julai 2006, atas dakwaan salahlaku dan penyelewengan kewangan terhadap seorang pegawai masjid berkenaan pada Julai 2006 berhubung isu yang dibangkitkan dalam mesyuara berkenaan.

Laporan di ibupejabat kontinjen polis Kuala Lumpur itu juga dibuat berhubung kutipan tabung masjid yang didakwa dibuat tanpa rekod sah.

Ketua imam masjid itu, Zakaria Mohamed ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan yang ditimbulkan Hoslan.

"Tidak boleh tanya saya... Kena tanya MAIWP sebab semuanya itu urusan MAIWP," katanya lagi.

ADS