Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib terima anugerah Imam Khalifah Agong Gayong
Diterbitkan:  Feb 25, 2012 3:48 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima anugerah Imam Khalifah Agong Gayong oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM).

    

Anugerah tertinggi pertubuhan itu yang membawa gelaran Sri Tri Buana Gangga Simanjakani Chula Sakti disampaikan oleh Yang Dipertua pertubuhan itu Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa.

    

Dalam majlis yang diadakan di Perhimpunan Raksasa Perpaduan Gayong PSSPGM di Kompleks Sukan Kriss Modenas di Gurun, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menerima anugerah utama pertubuhan itu yang membawa gelaran Sri Pelangi Srikandi Utama.

    

Najib dalam ucapannya selepas majlis penganugerahan itu berkata kerajaan akan membantu seni silat itu agar ia terus berkembang menjadi warisan yang dibanggakan.

    

Sehubungan itu, katanya sebuah yayasan atas nama Datuk Meor Abd Rahman, pengasas silat gayong, akan ditubuhkan dan peruntukan sewajarnya akan disalurkan oleh kerajaan.

    

Beliau berkata dengan penubuhan yayasan itu ia diharap dapat memperkembangkan lagi seni, ilmu dan nilai yang bersandarkan kepada perjuangan seni berkenaan.

    

"Saya juga bersetuju supaya peruntukan sewajarnya diberikan bagi membangunkan gelanggang silat. Saya akan berbincang dengan ayahanda Datuk Raja Abdul Majid tentang peruntukan ini.

    

"Wadah perjuangan seni silat gayong berkait rapat dengan wadah perjuangan Umno iaitu perjuangan yang tidak ada noktah, tidak akan sampai ke garisan penamat," katanya.

    

Perdana Menteri berkata seni silat gayong merupakan cerminan kepada perpaduan Melayu dan wadah perjuangan atas nama bangsa, agama dan negara.

    

"Andai ingin mencapai perpaduan nasional maka sendi utamanya ialah perpaduan orang Melayu dan perpaduan melalui seni silat gayong adalah sebahagian perpaduan bangsa Melayu," katanya.

    

Beliau berkata seni silat gayong bukan semata-mata menonjolkan daripada segi luaran dan kekuatan fizikal sahaja, tetapi perlu mewarisi semangat perjuangan dan jati diri pesilat sejak turun temurun.

    

- Bernama

ADS