Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUJ bidas serangan, mahu polis bertindak
Diterbitkan:  Feb 27, 2012 1:51 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini mahu polis bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mencederakan dua wartawan yang membuat liputan perhimpunan solidariti bagi menyokong Himpuan Hijau 2.0 di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang, semalam.

NONE "NUJ mengutuk kumpulan yang dipercayai didalangi penyokong PERKASA dan Umno kerana menyerang dua ahli media yang bertugas meliputi perhimpunan solidariti di Pulau Pinang, petang semalam," kata presiden NUJ Chin Sung Chew ( kanan ).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Chin berkata tidak ada sebarang alasan bagi mereka menyerang wartawan.

"Para wartawan hanya ditugaskan untuk membuat liputan acara berkenaan dan saya pasti orang ramai, termasuk kumpulan itu dapat mengenal pasti anggota media yang bertugas," katanya.

Pada kejadian semalam, wartawan Kwong Wah Yit Poh Adam Chew dan Lee Hong Chun diserang selepas pertengkaran yang tercetus pada perhimpunan itu.

NONE Akibat kecederaan yang dialaminya, Chew terpaksa memerlukan lapan jahitan, manakala Lee hanya luka dan lebam di kepalanya

Menurut Chin, NUJ membidas keganasan yang disasarkan terhadap wartawan yang menjalankan tugas mereka. NUJ juga menasihati ahli-ahli media untuk berhati-hati pada masa akan datang.

"NUJ akan memantau kes ini dengan teliti kerana kita tidak mahu ia menjadi satu trend di mana petugas media diserang semasa menjalankan tugas," katanya.

NONE Semua Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng, Pahang semalam berjalan lancar kecuali di Pulau Pinang.

Malah acara utama di Kuantan, Pahang,  menyaksikan kira-kira 15,000 orang ramai berhimpun membantah loji pemprosesan itu kerana bimbang berlakunya pencemaran radioaktif.

Pemuda PKR dukacita dengan polis

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Lee Khai Loon berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan polis yang didakwa lewat mengawal keadaan dan menuduh penganjur tidak memaklumkan kepada mereka lebih awal.

NONE Lee ( kiri ) dalam kenyataannya hari ini juga mendakwa, gambar yang direkodkan menunjukkan kemunculan seorang pemimpin kanan Umno bahagian Bukit Gelugor bersama "samseng" yang membuat kecoh dan provokasi.

"Oleh itu, AMK menyeru agar polis mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang memukul dan mencederakan wartawan dan orang awam.

"Polis perlu bersikap neutral serta profesional dalam menyiasat insiden tersebut agar mengembalikan kewibawaan polis," katanya.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bayan Baru pula berkata, tindakan pihak yang didakwa "samseng-samseng Umno" dianggap sebagai tindakan "fasis" yang menggunakan ketegangan untuk mempertahankan kepentingan pemerintah.

"Keganasan berbentuk fasis sebegini hanya membuktikan bahawa Umno adalah panghalang utama dalam perkembangan demokrasi di bumi Malaysia," kata Pengerusi PSM Bayan Baru Choo Chon Kai dalam kenyatannya hari ini.

ADS